Sempena menyambut ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang, ARIANI sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama fesyen Muslimah terkemuka menerusi penganjuran Pertunjukan Fesyen WARNA LEBARAN ARIANI 2026 yang berlangsung dengan penuh gemilang di Conference Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Pertunjukan fesyen ini meraikan keindahan warna sebagai simbol keanggunan, kebersamaan dan kegembiraan Aidilfitri, yang diterjemahkan melalui rekaan hijab serta busana raya ARIANI berteraskan sentuhan moden dan elegan. Keseluruhan konsep persembahan menonjolkan keseimbangan antara estetika kontemporari dan nilai tradisi yang dekat di hati masyarakat.
Di pentas peragaan, lebih 100 rekaan hijab dan busana dipersembahkan, menampilkan motif alam semula jadi, elemen flora serta cetakan abstrak kontemporari. Kesemua rekaan ini digabungkan dengan pilihan material berkualiti serta teknik cetakan yang unik dan pelbagai bagi menghasilkan koleksi yang segar dan versatil.
Koleksi WARNA LEBARAN ARIANI 2026 turut mengetengahkan warna-warna tular tahun ini seperti Strawberry Matcha, Teal dan Lime Green, yang disesuaikan dengan cita rasa semasa tanpa mengabaikan identiti klasik ARIANI yang menjadi kekuatan jenama sejak sekian lama.
Pertunjukan fesyen berprestij ini disaksikan oleh lebih 1,000 tetamu jemputan yang terdiri daripada pelanggan VVIP dan setia ARIANI, rakan media, selebriti serta pempengaruh tempatan. Kehadiran mereka menambahkan lagi seri acara yang diraikan dalam suasana eksklusif dan penuh kemeriahan.
Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Seri Farah Haryani, berkongsi bahawa Aidilfitri membawa makna yang lebih mendalam daripada sekadar perhimpunan keluarga dan tradisi bermaaf-maafan. Menurut beliau, Aidilfitri adalah detik istimewa untuk meraikan kebersamaan bersama insan tersayang, manakala persalinan baju raya pula menjadi simbol kegembiraan serta kenangan bermakna yang dicipta bersama keluarga.
Koleksi WARNA LEBARAN ARIANI tahun ini turut menampilkan lebih 400 variasi hijab yang merangkumi pelbagai gaya dan keperluan pemakai. Daripada selendang hingga tudung instant, koleksi ini hadir dalam pilihan hijab polos dan bercorak, termasuk bawal satin dan twill bercorak, bawal voile bercorak, selendang bercorak dalam material cotton, satin dan chiffon, serta selendang dan bawal polos yang dihiasi perincian berlian dan sulaman dalam pelbagai rona pilihan Aidilfitri.
Keanggunan eksklusif pula diterjemahkan menerusi koleksi ARIANI LUXE yang menampilkan lebih 100 rekaan istimewa dengan perincian French lace dan sentuhan kristal Swarovski. Setiap helaian tudung premium dihasilkan dengan ketelitian artisan menggunakan material berkualiti tinggi, menjadikannya antara koleksi tumpuan bagi sambutan Aidilfitri tahun ini.
Pertunjukan fesyen ini turut mencuri tumpuan apabila pelakon dan penyanyi terkenal, Elly Mazlein atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Lina Pom Pom, tampil membuka tirai pertunjukan sebagai Muse ARIANI LUXE 2026. Beliau memperagakan rekaan tudung eksklusif yang menyerlahkan keanggunan serta personalitinya yang tersendiri, sekali gus menerima sorakan gemuruh daripada para tetamu. Elly turut meluahkan rasa teruja dan bersyukur kerana dapat terus menjadi sebahagian daripada keluarga besar ARIANI.
Bagi kempen ARIANI 2026, jenama ini mengekalkan tiga duta tetapnya iaitu Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad, di samping memperkenalkan Fyza Kadir sebagai wajah baharu ARIANI RTW Premium. Pentas peragaan turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti lain seperti Qasrina Karim, Elisya Sandha, Cik Epal, Ammar Azman dan Madnor, manakala Mira Filzah yang pernah menjadi duta ARIANI sebelum ini kembali menyerikan kempen raya ARIANI tahun ini.
Kemuncak acara pada petang itu diserikan dengan kolaborasi istimewa tahun kedua antara ARIANI dan LIBERTY LONDON, gedung fesyen mewah ikonik dari London. Kolaborasi antarabangsa ini menyaksikan pengenalan 16 cetakan baharu eksklusif LIBERTY X ARIANI yang menampilkan rekaan potongan tradisional, sekali gus mengangkat keindahan warisan budaya Malaysia.
Dikenali dengan fabrik berkualiti tinggi serta corak bunga ikonik yang bersifat malar zaman, LIBERTY membawa sentuhan klasik dan unik yang melambangkan penyatuan nilai tempatan dengan estetika jenama antarabangsa. Kolaborasi ini memperkukuh lagi identiti ARIANI sebagai jenama yang berani meneroka kerjasama global tanpa mengorbankan elemen tradisi.
Dalam segmen pakaian lelaki, koleksi ARYAN diperkenalkan dengan rekaan yang merangkumi semua peringkat umur, daripada kanak-kanak hingga dewasa. Koleksi ini menampilkan seleksi baju Melayu sedondon, kurta dan jubah yang dihasilkan menggunakan material berkualiti tinggi dengan fokus terhadap jahitan yang kemas serta perincian halus. Tahun ini, figura lelaki ikonik Bront Palarae diperkenalkan sebagai duta baharu ARYAN, sekali gus menambahkan daya tarikan kepada koleksi pakaian lelaki ARIANI.
Acara ini turut memberi penekanan kepada segmen busana raya daripada sub-jenama ARIANI Ready-to-Wear (RTW). Menurut Datin Seri Farah Haryani, sebanyak 300,000 helai busana raya disediakan untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, merangkumi baju kurung, kebaya, kebarung, kaftan, jubah serta pelbagai potongan moden yang lain.
Walaupun hanya 140 rekaan dipersembahkan di pentas peragaan, koleksi lengkap ARIANI RTW menawarkan lebih 600 rekaan terkini yang merangkumi saiz bayi hingga dewasa. Setiap helaian dihasilkan menggunakan hampir 10 jenis material premium termasuk cotton, satin, twill, brocade, chiffon, crepe dan jacquard bagi memastikan keselesaan serta kualiti terbaik untuk pemakai.
Sebagai sebahagian daripada perkembangan jenama, ARIANI turut mengumumkan pembukaan cawangan baharu di pusat membeli-belah KLGCC. Pembukaan ini menjadi simbol pertumbuhan berterusan ARIANI dalam menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih dekat, selesa dan eksklusif kepada para pelanggan.
ARIANI terus komited mengekalkan identiti jenama dengan menawarkan koleksi berkualiti tinggi pada harga yang berpatutan, sama ada melalui butik fizikal mahupun platform dalam talian. Selari dengan DNA jenama, ARIANI menyediakan koleksi yang inklusif untuk semua peringkat usia, dengan penekanan terhadap keselesaan, kualiti dan nilai estetika tanpa menjejaskan elemen praktikal untuk pemakaian harian.
Majlis diteruskan dengan Pertunjukan Fesyen ARIANI PREMIUM yang menampilkan rekaan eksklusif keluaran terhad khusus buat pelanggan yang menghargai kemewahan dan keunikan. Kesemua koleksi sempena Aidilfitri ini telah berada di pasaran bermula sekarang, bersempena dengan Jualan Pra-Ramadan dan Jualan Mega Lebaran yang berlangsung sehingga malam raya.
Acara berprestij ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air seperti Dato’ M. Nasir, Liza Aziz, Azlina Aziz, Ruffedge dan Amelina, menjadikannya antara pertunjukan fesyen paling mewah dan berprestij pernah dianjurkan oleh ARIANI. Majlis ini juga diserikan dengan kehadiran tetamu istimewa, Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor, yang menambahkan lagi keistimewaan acara tersebut.







0 Comments
Post a Comment