Bayu Somerset, jenama fesyen past-forward yang dikenali dengan corak terang dan rona ceria, dengan bangganya memperkenalkan koleksi Raya 2026 mereka bertajuk #somerSYOKraya26, sebuah perayaan warna, kreativiti dan keunikan diri. Pelancaran koleksi ini diraikan serentak dengan pembukaan outlet terbaharu Bayu Somerset di Central i-City, sekali gus menandakan langkah baharu jenama ini dalam memperluaskan kehadirannya.

Koleksi Raya tahun ini menampilkan 50 corak unik, lebih lima siluet baharu, tujuh set keluarga serta tujuh rekaan mewah yang direka dengan teliti untuk menaikkan gaya fesyen perayaan sambil mengekalkan keselesaan untuk pemakaian harian. Setiap rekaan mencerminkan keseimbangan antara elemen tradisional dan sentuhan moden yang menjadi identiti Bayu Somerset.

Meneruskan tradisi menggabungkan seni dan fesyen, Bayu Somerset memperkenalkan tiga kolaborasi istimewa yang masing-masing membawa identiti artistik tersendiri sambil kekal setia kepada DNA jenama. Kolaborasi bersama Arif Rafhan mengolah motif batik klasik dengan sentuhan estetik berani serta palet warna ceria, memberikan nafas moden kepada busana Raya tradisional. Sementara itu, Bunga dan Bintang mengetengahkan rekaan florals lembut berona pastel yang menambah elemen manis dan feminin dalam rangkaian Raya. Dalam kolaborasi kejutan eksklusif bersama Machino, bunga Hana ikonik digabungkan dengan rekaan batik khas Bayu Somerset, disusun secara halus mengelilingi corak utama dan dipadankan dengan palet warna hangat berinspirasikan musim luruh, menghasilkan rekaan yang mudah dikenali sebagai ciptaan Bayu Somerset.

Kolaborasi ini turut merangkumi empat rekaan kasut eksklusif dan empat gaya skarf, sekali gus menawarkan pilihan yang versatil untuk digayakan semasa Raya mahupun dalam pemakaian harian. Keseluruhan koleksi ini menekankan fleksibiliti, kreativiti dan gaya yang berani.

Menurut Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul, Bayu Somerset berperanan sebagai penyatu harmoni antara warisan dan ekspresi moden. Walaupun siluet yang ditampilkan berakar daripada budaya Malaysia, penggunaan warna dan corak yang moden serta berani mencerminkan pendekatan kontemporari jenama ini. Menerusi tiga kolaborasi tersebut, Bayu Somerset berjaya menggabungkan tradisi dengan seni semasa bagi menghasilkan koleksi yang meraikan warisan serta gaya masa kini.

Menambahkan lagi seri pelancaran, Anzalna Nasir tampil anggun mengenakan Inara Kurung dalam rona Cempaka Puteh daripada koleksi Bayu Somerset x Arif Rafhan. Sementara itu, Liza Hanim bersama anak perempuannya berkongsi momen Raya penuh kasih sayang dalam set kebaya Agnes Kotabaru sedondon rona Murni Blue dan Green, menyerlahkan tarikan mesra keluarga yang menjadi antara kekuatan koleksi ini.


Bagi menangkap semangat Bayu Somerset secara lebih menyeluruh, jenama ini turut memperkenalkan jingle rasmi pertama mereka yang menampilkan vokal Aisha Retno, bintang baharu yang kian mencuri perhatian. Dengan lirik seperti “I wanna be bold, I wanna be loud”, lagu ini merangkum falsafah jenama sebagai teman harian untuk semua lapisan masyarakat, sekali gus memberi keyakinan kepada individu pelbagai saiz, jantina dan usia untuk tampil berani dalam warna dan gaya.

Dania Kamalul turut menegaskan bahawa sejak penubuhan Bayu Somerset, matlamat utama jenama ini adalah untuk mencipta fesyen yang membina keyakinan untuk semua tanpa mengira saiz, jantina atau usia. Menerusi koleksi #somerSYOKraya26, Bayu Somerset berharap setiap individu dapat berasa bangga, bergaya dan selesa menjadi diri sendiri ketika menyambut Aidilfitri.

Koleksi Raya #somerSYOKraya26 ditawarkan dalam saiz XXS hingga 5XL dengan harga bermula serendah RM99 dan boleh didapati di semua outlet Bayu Somerset di seluruh negara termasuk outlet baharu di Central i-City, serta secara dalam talian di www.bayusomerset.com.