Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) terus mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen sejak mula ditayangkan pada 4 Februari lalu. Mengangkat isu sensitif seperti penyondol, rumah tangga dan pengorbanan, drama ini tampil dengan pendekatan berbeza yang jarang diketengahkan dalam naskhah tempatan. Sentuhan pengarah Shahrul Ezad Mohameddin atau lebih dikenali sebagai Budakijat sememangnya terkenal dengan gaya penceritaan yang berani dan sarat kelainan, sekali gus menjadikan setiap episod penuh dengan kejutan serta lapisan emosi yang mendalam.
Antara kekuatan STEN adalah keberanian skripnya mempersoalkan stereotaip bahawa tidak semua penyondol itu semestinya jahat. Watak Alisa lakonan Trisha Ooi digambarkan mempunyai sisi empati apabila dia merasakan Norman tidak dihormati oleh isterinya yang terlalu obses dengan kejayaan duniawi. Namun, dialog balas daripada Emma yang dibawakan oleh Sharifah Sakinah — “Kau guna alasan untuk halal niat kau dan sondol suami aku” — menjadi antara babak paling diperkatakan kerana sarat dengan emosi dan realiti yang menyakitkan. Turut menguatkan konflik ialah lakonan Aidil Aziz yang menampilkan dilema seorang suami dalam situasi serba salah.
Di media sosial, reaksi penonton terbahagi kepada dua — ada yang memuji keberanian skrip yang cuba memberi perspektif berbeza, dan ada juga yang mempertikaikan logik serta moral watak-wataknya. Namun, di situlah kekuatan STEN; ia bukan sekadar drama biasa, tetapi naskhah yang mengundang perdebatan dan refleksi. Dengan 28 episod yang menyentuh tema keagamaan, hubungan kekeluargaan dan pengorbanan, STEN membuktikan bahawa drama tempatan mampu berkembang dengan naratif yang lebih matang dan berani.
Bagi yang ingin mengikuti perkembangan kisah penuh konflik ini, STEN bersiaran setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam menerusi slot DramaVaganza di Astro Ria serta boleh distrim melalui Astro GO dan Sooka.
.jpg)
%20(1).jpeg)

%20(1).jpeg)
0 Comments
Post a Comment