Selepas hampir 13 tahun menyepi, penyanyi dan pencipta lagu Lucky Joe akhirnya kembali mewarnai industri muzik tanah air dengan single raya terbaharu berjudul “Senyum Raya”. Pelancaran rasmi pada 21 Februari 2026 ini cukup bermakna kerana bertepatan dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-45, sekali gus menjadi simbolik kepada fasa baharu dalam perjalanan seninya. Kemunculan semula ini bukan sekadar ‘comeback’, tetapi hadiah istimewa buat diri sendiri dan para peminat yang setia menantikan karya baharu daripadanya.
Lucky Joe memulakan kerjaya nyanyian sekitar tahun 2000 hingga 2012 dengan menghasilkan sembilan single merangkumi genre pop, dangdut dan poco-poco. Selepas itu, beliau mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia nyanyian dan memberi fokus kepada kerjaya di belakang tabir sebagai pengurus artis, penulis skrip drama TV dan sitkom, selain aktif dalam bidang hartanah serta pengurusan penerbitan acara. Walaupun tidak lagi muncul sebagai penyanyi, bakat kreatifnya terus berkembang apabila beliau menghasilkan lagu untuk beberapa artis terkenal, meskipun namanya sebagai pencipta tidak selalu diketengahkan.
“Senyum Raya” tampil sebagai lagu pop raya yang ringkas, segar dan mudah diingati. Menariknya, lagu ini disiapkan dalam tempoh hanya 20 hari termasuk proses susunan muzik, dengan konsep yang sengaja dipermudahkan agar dekat dengan semua lapisan masyarakat — daripada Gen Z hingga golongan dewasa. Mesej yang dibawa cukup universal, menyentuh tentang keceriaan Aidilfitri, keikhlasan memohon maaf serta kehangatan pulang ke kampung halaman bertemu keluarga tercinta. Bait lirik seperti “Senyum Ayah Ibu kala bertemu” dan “Saling bermaafan kosong-kosong” mengangkat nilai kasih sayang, kemaafan dan kesyukuran yang menjadi inti pati Syawal.
Single ini diterbitkan oleh Mahardika Production dengan susunan muzik oleh Seefar, serta diurus di bawah label independen DragonBeat Records. Ia diedarkan oleh Nadayana Music sebagai penerbit muzik bersama rakan promosi Rentak Sejuta, dan kini boleh dinikmati di 11 platform muzik digital antarabangsa.
Bagi Lucky Joe, “Senyum Raya” adalah tanda kebangkitan dan permulaan baharu sebagai penyanyi serta pencipta lagu. Dengan pengalaman luas di dalam dan luar pentas, beliau kini bersedia untuk kembali aktif dan terus menghasilkan karya yang dekat di hati masyarakat, khususnya dalam meraikan momen istimewa Ramadan dan Syawal dengan warna muzik yang segar dan berbeza.

0 Comments
Post a Comment