Lagu “Hadirmu Ramadhan” merupakan sebuah karya yang lahir daripada rasa rindu dan syukur terhadap kehadiran bulan Ramadan. Ia menggambarkan Ramadan sebagai ruang untuk manusia kembali mencari ketenangan jiwa, mendalami keinsafan diri serta mengukuhkan hubungan dengan Tuhan. Lagu ini mengetengahkan sisi Ramadan yang lebih mendalam, bukan sekadar bulan perayaan, tetapi bulan muhasabah dan penyucian hati.

Menurut komposer dan penulis lirik bersama, Nyawablack atau Black Hanifah yang turut menyumbangkan vokal, lagu ini bersifat reflektif, lembut dan sarat dengan pengharapan. Ia dihasilkan sebagai peringatan halus tentang makna sebenar Ramadan. Penyanyi popular Hazama turut terlibat sebagai penulis lirik bersama menggunakan nama pena Kadok. Inspirasi utama lagu ini tercetus daripada suasana Ramadan itu sendiri, termasuk kenangan malam yang sunyi, doa yang penuh kesyahduan serta rasa rindu setiap kali bulan mulia ini menjelma. Black turut berkongsi bahawa pengalaman peribadinya menyaksikan bagaimana Ramadan mampu melembutkan hati manusia menjadi antara pencetus utama penghasilan lagu ini, walaupun perubahan itu kadangkala hanya sementara namun tetap meninggalkan kesan yang mendalam.

Proses penciptaan bermula dengan melodi yang menenangkan sebelum lirik dibentuk secara berperingkat. Setiap bait disusun dengan teliti agar mesej yang disampaikan dapat dirasai secara jujur tanpa berlebihan. Liriknya digambarkan sebagai dialog antara seorang insan dengan Tuhan, lahir daripada suara hati yang penuh keinsafan dan kejujuran. Kolaborasi antara Nyawablack dan Kadok pula berlaku secara spontan apabila demo lagu ini diperdengarkan kepada Hazama. Perbincangan santai mengenai lirik membuka ruang penambahbaikan supaya ia lebih selari dengan emosi dan melodi, sekali gus menjadikan karya ini lebih seimbang dan berjiwa.


Antara cabaran utama dalam menghasilkan “Hadirmu Ramadhan” adalah memastikan lagu ini kekal ikhlas dan tidak klise, memandangkan lagu bertemakan Ramadan sering terdedah kepada pengulangan tema. Mereka juga perlu menyeimbangkan mesej agar dekat dengan pendengar tanpa terlalu berat atau terlalu ringan. Secara keseluruhan, proses penghasilan mengambil masa beberapa minggu meliputi penulisan lirik, susunan muzik dan rakaman, walaupun idea asalnya telah tercetus sejak setahun lalu sebelum direalisasikan sepenuhnya tahun ini.

Keistimewaan lagu ini terletak pada pendekatannya yang peribadi dan introspektif. Ia tidak sarat dengan elemen keraian, sebaliknya memberi tumpuan kepada rasa rindu, muhasabah dan pencarian makna Ramadan dalam diri setiap insan. Secara tersirat, “Hadirmu Ramadhan” membawa mesej tentang peluang kedua, menggambarkan Ramadan sebagai tetamu yang hadir membawa cahaya dan mengajak manusia memperbaiki diri, memaafkan serta kembali kepada fitrah. Lagu ini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital bermula 24 Februari 2026, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada 20 Februari 2026 jam 3 petang.