Peminat muzik berjiwa retro, jazz-pop dan estetika vintaj bakal dihiburkan menerusi konsert istimewa Senandung Ria Di Kuala Lumpur yang menampilkan gabungan dua kumpulan popular Indonesia, White Shoes & The Couples Company dan NonaRia, dalam sebuah malam penuh pesona. Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2026 (Ahad) di Zepp Kuala Lumpur ini menjanjikan pengalaman muzik yang sarat dengan nostalgia, romantik serta keanggunan estetika, menggabungkan bunyi merentas masa, generasi dan emosi.
NonaRia bakal mempersembahkan nuansa jazz-pop kontemporari yang manis, ceria dan bersahaja. Dengan susunan muzik yang ringkas namun kaya dengan rasa, kumpulan ini mencipta kehangatan tersendiri menerusi lagu-lagu popular seperti “Santai”, “Masa Mudaku”, “Ceria”, “Ambang Rindu” dan “Kota”. Menurut anggotanya, keterujaan untuk tampil buat pertama kali di Kuala Lumpur sukar digambarkan dengan kata-kata. Nesia Ardi berkata mereka tidak sabar bertemu peminat dan berharap penonton dapat bergembira, bernyanyi serta melupakan seketika kesusahan hati. Nanin Wardhani pula mengakui jemputan ke Kuala Lumpur sudah lama dinantikan dan berasa teruja akhirnya berpeluang bertemu peminat di sana.
Sementara itu, White Shoes & The Couples Company terus memikat dengan identiti pop vintaj yang unik, susunan muzik sinematik serta lirik puitis yang kekal relevan merentasi zaman. Sepanjang perjalanan seni mereka, kumpulan ini telah melahirkan pelbagai lagu ikonik seperti “Senandung Maaf”, “Vakansi”, “Roman Ketiga”, “Aksi Kucing” dan “Nothing to Fear”. Walaupun ini merupakan persembahan kedua mereka di Malaysia selepas penampilan pertama pada tahun 2011 di Publika, peluang beraksi di Zepp Kuala Lumpur tetap dirasakan istimewa.
Gabungan kedua-dua kumpulan ini menjadikan Senandung Ria Di Kuala Lumpur lebih daripada sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah perayaan muzik yang mengangkat nilai rasa, gaya dan emosi. Ia sesuai buat penonton yang menghargai keindahan melodi, susunan muzik yang halus serta pengalaman persembahan yang intim dan berkelas. Menurut Muhammad Nur Anizam, wakil penganjur ZS Entertainment, pihaknya berbesar hati membawa kedua-dua kumpulan ini ke Malaysia dan menjangkakan konsert tersebut bakal menjadi malam penuh nostalgia serta keindahan muzik untuk semua pencinta seni.
Tiket ditawarkan pada harga CAT 1 (Standing) RM200, CAT 2 (Premium Seat) RM290, CAT 3 (Normal Seat) RM250 dan VIP Box RM450 seorang. Pembelian boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web myticketempire.com. Konsert ini turut dianjurkan bersama Lampuneon Entertainment selaku promoter rasmi. Maklumat lanjut boleh didapati melalui Instagram rasmi ZS Entertainment dan Lampuneon Entertainment.



0 Comments
Post a Comment