Fenomena drama Andai Itu Takdirnya 2 semakin ‘panas’ apabila penonton terus dibawa menyelami konflik rumah tangga yang penuh emosi dan pengkhianatan. Karya hasil sentuhan Siti Rosmizah ini bukan sahaja berjaya menarik perhatian, malah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton setia sejak ia mula ditayangkan.

Watak Aleya yang dibawakan oleh Hannah Delisha kini dilihat jauh berbeza berbanding musim pertama. Jika dahulu sering dipaparkan sebagai seorang yang lemah lembut, kali ini Aleya tampil lebih berani dan tegas dalam mempertahankan dirinya. Menurut Hannah, perubahan karakter ini dilakukan hasil perbincangan bersama pengarah Feroz Kadir bagi memberikan dimensi baharu kepada watak tersebut.

Dalam masa sama, karakter Aizril lakonan Shukri Yahya terus mengundang kecaman apabila digambarkan sebagai lelaki yang gagal membuat keputusan bijak, terutama dalam hal melibatkan wanita dan perkahwinan. Dilema antara menyelamatkan perniagaan dan mempertahankan rumah tangga menjadikan wataknya semakin kompleks dan penuh konflik.

Kehadiran Azreen, lakonan Nadia Brian pula menambahkan lagi ketegangan apabila watak tersebut dilihat sebagai punca utama keretakan hubungan Aizril dan Aleya. Strategi manipulatif yang digunakan Azreen membuatkan penonton semakin ‘geram’ dan teruja menantikan perkembangan seterusnya.

Dengan pelbagai konflik yang masih belum terungkai, penonton pastinya tidak sabar untuk mengetahui sama ada Aizril akan berjaya mengahwini Azreen atau akhirnya memilih untuk mempertahankan rumah tangganya bersama Aleya. Drama ini terus bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan platform Sooka.

INFORMASI


Drama: Andai Itu Takdirnya 2

Pelakon: Shukri Yahya, Hannah Delisha, Nadia Brian

Pengarah: Feroz Khan

Penerbit: SR ONE Sdn. Bhd

Episod: 40 Episod


Sinopsis:


Kesinambungan daripada Andai Itu Takdirnya 2 mengisahkan Aizril, seorang suami yang terperangkap antara kesetiaan terhadap keluarganya dan cinta kepada isterinya. Ketika cintasemakin pudar dan tragedi melanda, Aleya terpaksa membuat pilihan adakah kesetiaan masih berbaloi dengan harga kebebasan dirinya? Dan adakah Aizril akan sekali lagi mensia-siakan peluang yang diberikan oleh isterinya?