BLACKMORES Malaysia, dengan sokongan Guardian Malaysia dan Kechara Soup Kitchen, menganjurkan inisiatif bantuan komuniti untuk menyokong 200 keluarga yang menetap di PPR Desa Rejang dan PPR Air Panas, memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 individu. Program ini melibatkan pengagihan bekalan makanan asas, produk kebersihan dan suplemen pemakanan kepada komuniti yang memerlukan, sekali gus memperkukuh komitmen BLACKMORES dalam membina komuniti lebih sihat dan menyokong kesejahteraan harian.
BLACKMORES Malaysia menaja pek makanan seimbang yang berkhasiat serta suplemen pemakanan termasuk Omega Complex 120s dan Daily Protect Chewable 60s, manakala Guardian Malaysia menyumbangkan barangan keperluan harian seperti berus gigi dan gel mandian. Sukarelawan BLACKMORES Malaysia dan Guardian Malaysia, bersama-sama Kechara Soup Kitchen, membungkus dan mengedarkan pek bantuan yang mengandungi makanan ruji, produk kebersihan dan suplemen pemakanan BLACKMORES terpilih bagi menyokong keperluan kesihatan dan pemakanan keluarga sepanjang bulan Ramadan.
Selain membantu keluarga di PPR Desa Rejang dan PPR Air Panas, BLACKMORES Malaysia turut menyumbangkan 1,000 unit Daily Protect Chewable 60s kepada komuniti PPR lain di sekitar Lembah Klang melalui Kechara Soup Kitchen. Usaha ini bertujuan memperluas sokongan pemakanan dan manfaat kesihatan kepada lebih ramai keluarga yang memerlukan. Secara keseluruhan, kira-kira 2,000 individu dijangka menerima manfaat daripada inisiatif ini.
Program bantuan ini mencerminkan komitmen berterusan BLACKMORES dalam menyokong komuniti di setiap lokasi operasinya di rantau Asia Pasifik. Di Malaysia, komitmen ini dijalankan melalui inisiatif seperti Project Kindness, program akar umbi yang memberi tumpuan kepada membantu komuniti kurang bernasib baik melalui aktiviti berasaskan kesihatan, kesejahteraan dan pemakanan. Dengan sokongan sukarelawan dan kerjasama organisasi amal, BLACKMORES terus memperkukuh usaha untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
“Sempena Ramadan yang mulia ini, BLACKMORES Malaysia, bersama Guardian Malaysia dan Kechara Soup Kitchen, telah menyantuni 200 keluarga di PPR Desa Rejang dan PPR Air Panas. Melalui pengagihan makanan dan suplemen pemakanan BLACKMORES, kami berharap inisiatif ini dapat menyokong dan meningkatkan tahap kesihatan serta kesejahteraan komuniti sepanjang bulan Ramadan,” kata Ketua Pemasaran BLACKMORES Malaysia, Chloe Meng.
“Sebagai rakan kesejahteraan anda sejak 58 tahun yang lalu, Guardian sentiasa berusaha memberikan makna baharu kepada tradisi Raya. Selain duit raya dan juadah perayaan, kami menggalakkan rakyat Malaysia untuk memberikan hadiah yang membantu melindungi insan tersayang, selari dengan tema ‘Seikhlas Pemberian, Seindah Lebaran’. Kami berasa berbesar hati kerana dapat menyokong inisiatif ini dan berharap sumbangan dapat membawa kegembiraan serta kelegaan kepada keluarga, terutamanya pada bulan Ramadan yang mulia ini,” ujar Pengurus Kategori Kanan Guardian Malaysia, Michelle Chong.
BLACKMORES Malaysia kekal komited dalam menyokong inisiatif yang mempromosikan kesihatan, pemakanan dan kesejahteraan komuniti, dan akan terus bekerjasama dengan rakan serta organisasi tempatan bagi membawa impak positif kepada komuniti di seluruh negara.



0 Comments
Post a Comment