Destinasi yang dinanti-nantikan akhirnya tiba. Kuala Lumpur secara rasmi dipilih sebagai lokasi sulung bagi debut antarabangsa BYON COMBAT SHOWBIZ 7, satu jenama sukan tempur yang kini sedang meledak di rantau Asia Tenggara. Melalui kerjasama erat bersama penganjur tempatan, Kharisma Music International, acara ini bakal membawa satu pengalaman luar biasa yang menggabungkan elemen sukan tempur berintensiti tinggi dengan produksi hiburan "showbiz" yang serba moden dan gah.

Acara yang bakal menggegarkan World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur pada 25 April 2026 ini bukan sekadar perlawanan tinju biasa. Ia adalah platform sukan 360 darjah yang mengutamakan kualiti visual dan pengalaman penonton. Selepas berjaya mencatat sejarah di Indonesia dengan ratusan juta tontonan digital, BYON kini sedia membuktikan kepada lebih 3,000 penonton di Malaysia mengapa mereka dianggap sebagai peneraju baharu dalam industri hiburan sukan tempur.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada pertembungan barisan petarung elit dari Malaysia dan Indonesia. Kehadiran jaguh-jaguh dari kedua-dua buah negara ini bukan sahaja menjanjikan aksi yang mendebarkan, malah membangkitkan semangat persaingan sihat yang cukup dirasai peminat. Dari sesi sidang media hingga ke acara face-off dan weigh-in, setiap detik dirancang untuk memberikan debaran maksima kepada peminat sebelum gong pertama dibunyikan.

Bagi memastikan semua orang dapat merasai kehangatan ini, BYON turut menjalin kerjasama strategik bersama Media Prima dan Vidio untuk penstriman eksklusif. Kini, anda tidak perlu risau jika tidak dapat hadir ke lokasi kerana dengan hanya RM17, setiap aksi 'kickstriking' dan tumbukan padu BYON7 boleh disaksikan secara terus menerusi peranti anda. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah evolusi sukan tempur ini!