Unit reggae-alternatif terkemuka dari California Selatan, Dirty Heads, secara rasmi mengumumkan pelancaran album studio kesembilan mereka yang amat dinantikan, berjudul “7 Seas”. Album yang dijadualkan menemui peminat pada 12 Jun 2026 ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjaya seni mereka yang kini menjangkau lebih dua dekad. Sebagai pelancaran perdana bagi era baharu ini, Dirty Heads mempertaruhkan single terbaharu bertajuk ‘One of Those Days’, sebuah naskhah yang menyuntik elemen positif dan ketenangan buat para pendengar.
Membawakan nuansa yang cukup santai, ‘One of Those Days’ merupakan sebuah keraian terhadap momen kebersamaan serta penghargaan kepada kebahagiaan ringkas dalam kehidupan seharian. Gabungan unik elemen reggae, hip-hop, alternatif, dan pop yang menjadi identiti kumpulan ini dikekalkan, namun disampaikan dengan gubahan yang lebih ringan dan catchy. Dustin “Duddy B” Bushnell menyifatkan karya ini sebagai satu peringatan untuk sentiasa menikmati kehidupan, manakala Jon Olazabal menganggapnya sebagai lagu yang sempurna untuk dinyanyikan bersama selepas mengharungi rutin mingguan yang mencabar.
Album “7 Seas” dijanjikan bakal membawakan kepelbagaian warna muzik yang luas. Dari ritma pesisir pantai yang mendamaikan sehingga kepada lagu-lagu berintensiti tinggi untuk suasana malam, naskhah ini merupakan sebuah refleksi perjalanan seni Dirty Heads yang telah mencatatkan berbilion penstriman secara global sejak penubuhannya pada tahun 2000. Sebelum ini, bayangan awal era ini telah diperkenalkan menerusi lagu ‘Seven Seas’ yang menerima sambutan luar biasa daripada komuniti muzik antarabangsa.
Selain tumpuan kepada kualiti produksi muzik, Dirty Heads turut menggunakan platform ini untuk menyebarkan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar. Menerusi kolaborasi strategik bersama organisasi 4Ocean, kumpulan ini komited dalam misi mengurangkan pencemaran sampah plastik di lautan. Inisiatif ini turut membuka ruang buat para peminat untuk terlibat secara aktif dalam pelbagai program pemuliharaan lautan yang dianjurkan sepanjang promosi album ini dijalankan.
Dengan gabungan elemen muzik yang segar dan komitmen terhadap isu global, kemunculan semula Dirty Heads menerusi album “7 Seas” dan single ‘One of Those Days’ pastinya akan mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai ikon muzik reggae moden. Peminat boleh menantikan pelancaran penuh album ini di semua platform digital utama bermula Jun depan, manakala single terbaharu mereka kini sedia untuk dinikmati oleh semua peminat muzik di seluruh dunia.


0 Comments
Post a Comment