Pemakanan seimbang bukan sekadar memenuhi keperluan nutrien tertentu atau mengikuti trend “superfood” semasa, sebaliknya melibatkan pengambilan nutrien yang mencukupi secara konsisten bagi menyokong pertumbuhan, metabolisme, pemulihan dan kesejahteraan menyeluruh. Selain itu, cara makanan dipadankan turut memainkan peranan penting kerana ia boleh mempengaruhi keupayaan tubuh untuk menyerap dan memanfaatkan nutrien dengan lebih berkesan. Menurut Susan Bowerman, Pengarah Kanan Pendidikan dan Latihan Pemakanan Global di Herbalife, dalam sains pemakanan, kombinasi makanan tertentu boleh mempengaruhi tahap penyerapan dan penggunaan nutrien oleh tubuh. Ini bermakna pemilihan padanan makanan yang bijak semasa waktu makan mampu meningkatkan pengambilan nutrien harian. Pendekatan paling mudah ialah dengan mempelbagaikan makanan sihat secara konsisten berbanding mengambil menu yang sama setiap hari, kerana terdapat kombinasi tertentu yang memberikan manfaat lebih besar apabila diambil bersama.
Pengambilan nutrien yang mencukupi amat penting untuk kesihatan dan kesejahteraan, dengan keperluan yang berbeza mengikut peringkat kehidupan seperti remaja, dewasa dan warga emas. Dalam usaha meningkatkan kualiti pemakanan, beberapa padanan makanan boleh diamalkan dalam rutin harian. Antaranya ialah pengambilan sayur-sayuran berwarna-warni bersama sedikit lemak sihat. Sayur-sayuran seperti bayam, lobak merah, lada benggala dan tomato mengandungi karotenoid yang bertindak sebagai antioksidan, dan penyerapan sebatian ini menjadi lebih efektif apabila diambil bersama lemak sihat seperti minyak zaitun, kekacang, biji-bijian atau avokado.
Selain itu, vitamin C membantu meningkatkan penyerapan zat besi, khususnya zat besi daripada sumber tumbuhan seperti kekacang, lentil, bayam dan bijirin yang biasanya sukar diserap oleh tubuh. Menggabungkan makanan seperti tomato, buah sitrus atau strawberi bersama hidangan ini dapat membantu meningkatkan penyerapan zat besi dengan lebih baik. Minuman protein atau pengganti makanan yang diperkaya dengan zat besi juga boleh dimanfaatkan dengan menambah buah-buahan kaya vitamin C seperti nanas, mangga atau strawberi bagi meningkatkan keberkesanannya, sekali gus membantu memenuhi keperluan nutrien harian.
Teh hijau pula mengandungi katekin, iaitu sebatian tumbuhan yang bertindak sebagai antioksidan. Penyerapan sebatian ini boleh ditingkatkan apabila teh hijau diambil bersama makanan yang kaya vitamin C seperti lemon, buah sitrus, kiwi atau strawberi. Mengamalkan teh hijau bersama snek seimbang yang turut mengandungi protein dan serat bukan sahaja meningkatkan penyerapan nutrien, malah membantu memberikan tenaga yang lebih berpanjangan sepanjang hari.
Gabungan vitamin D dan kalsium juga penting untuk kesihatan tulang dan fungsi otot. Vitamin D membantu tubuh menyerap kalsium dengan lebih efektif, dan kedua-duanya boleh diperoleh daripada pelbagai sumber makanan. Ikan berlemak seperti salmon dan tenggiri serta telur membekalkan vitamin D, manakala sayur berdaun hijau, produk tenusu dan minuman berasaskan tumbuhan yang diperkaya menyediakan kalsium. Menggabungkan sumber-sumber ini dalam hidangan harian dapat membantu tubuh menggunakan nutrien tersebut dengan lebih optimum. Walaupun Malaysia menerima cahaya matahari yang mencukupi, kekurangan vitamin D masih kerap berlaku, sekali gus menekankan kepentingan pengambilan makanan yang sesuai dan, jika perlu, suplemen untuk menyokong kesihatan tulang dan kesejahteraan keseluruhan.
Di samping itu, gabungan protein dan serat juga memainkan peranan penting dalam diet harian. Ramai orang dewasa tidak mengambil kedua-dua nutrien ini dalam jumlah yang mencukupi, sedangkan ia penting untuk memberikan rasa kenyang yang lebih lama serta menyokong kesihatan pencernaan. Menggabungkan sumber protein seperti ayam, ikan, telur, tauhu atau kekacang dengan makanan tinggi serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dapat menghasilkan hidangan yang lebih seimbang, mengenyangkan dan berkhasiat.
Secara keseluruhannya, mendapatkan nutrien yang mencukupi dalam era moden boleh menjadi cabaran disebabkan gaya hidup yang sibuk, faktor sosial dan perubahan tabiat pemakanan. Pemakanan sihat bukanlah tentang mengikuti peraturan yang ketat, tetapi memastikan tubuh menerima nutrien yang diperlukan secara konsisten mengikut gaya hidup individu. Kepelbagaian makanan serta padanan yang bijak dapat membantu meningkatkan pengambilan nutrien harian. Walaupun makanan lengkap menjadi asas diet, produk diperkaya, minuman protein dan suplemen boleh berfungsi sebagai sokongan tambahan untuk menampung kekurangan nutrien. Pendekatan terbaik adalah memberi tumpuan kepada konsistensi berbanding kesempurnaan, dengan menggabungkan sumber protein, buah-buahan dan sayur-sayuran berwarna-warni, bijirin tinggi serat serta lemak sihat bagi memastikan tubuh mendapat nutrien yang mencukupi setiap hari.




0 Comments
Post a Comment