Dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik global yang memberi tekanan kepada ekonomi negara, ramai rakyat kini berdepan cabaran dalam mengurus perbelanjaan harian serta komitmen kewangan sedia ada. Situasi ini secara langsung menjejaskan aliran tunai isi rumah dan keupayaan mereka untuk berbelanja dengan lebih yakin.
Sehubungan itu, KEADILAN Putrajaya berpandangan bahawa kerajaan wajar mempertimbangkan semula pelaksanaan moratorium pinjaman bank secara bersasar sebagai langkah segera bagi membantu meringankan beban rakyat. Moratorium bukanlah penghapusan hutang, sebaliknya merupakan penangguhan bayaran komitmen kewangan yang dapat memberi ruang kepada isi rumah untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mereka.
Dalam tempoh tersebut, lebihan tunai yang tersedia boleh dimanfaatkan untuk keperluan asas, sekali gus memberikan kelegaan kepada rakyat dalam mengurus kehidupan seharian. Pada masa yang sama, langkah ini berpotensi meningkatkan semula kuasa beli rakyat. Apabila aliran tunai bertambah, perbelanjaan domestik turut dirangsang dan seterusnya memberi manfaat kepada perniagaan tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana. Kesan berganda ini penting bagi memastikan ekonomi domestik terus kekal aktif dan berdaya tahan.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan moratorium perlu dirangka dengan teliti dan dilaksanakan secara bersasar. Keutamaan harus diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, termasuk kumpulan B40 dan sebahagian M40 yang terjejas. Pendekatan menyeluruh secara pukal wajar dielakkan bagi memastikan keseimbangan antara membantu rakyat dan mengekalkan kestabilan sistem kewangan negara. Pendekatan ini juga selari dengan peranan kerajaan sebagai penstabil ekonomi yang bertanggungjawab, di mana intervensi bersasar mampu memberi impak yang lebih menyeluruh jika dilaksanakan secara berhemah.
Pada masa yang sama, kerjasama erat dengan Bank Negara Malaysia serta institusi kewangan adalah penting bagi memastikan pelaksanaan dasar ini tidak menjejaskan keutuhan sistem perbankan negara. Pendekatan yang pragmatik dan tersusun diyakini mampu memberikan kelegaan kepada rakyat, di samping membantu merangsang semula aktiviti ekonomi domestik secara lebih mampan.
0 Comments
Post a Comment