Dua pemain industri yang berakar umbi di Malaysia serta disenaraikan di bursa antarabangsa kini bergabung tenaga untuk memacu inovasi dalam sektor kesihatan global, anti-penuaan dan kesejahteraan. Holista Colltech Limited (ASX: HCT) dan Swang Chai Chuan Limited (HKEX:2321) secara rasmi mengumumkan penubuhan usahasama strategik 50:50 melalui Ovicoll Pty Ltd, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam usaha memperluaskan kejayaan serantau mereka ke pasaran global.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan pengeluaran kolagen nano berasaskan biri-biri yang berteknologi tinggi di Collie, Australia Barat. Usahasama ini menggabungkan kekuatan kedua-dua pihak, iaitu kepakaran saintifik dan inovasi bioteknologi daripada Holista Colltech yang tersenarai di Australia, serta kekuatan modal dan rangkaian pengedaran luas daripada Swang Chai Chuan yang tersenarai di Hong Kong.
Antara kelebihan utama perikatan strategik ini ialah pembangunan kolagen berasaskan ovine (biri-biri) yang bersifat neutral dari segi budaya dan agama, menjadikannya diterima secara universal serta berpotensi sebagai alternatif “halal” untuk pasaran global. Selain itu, kemudahan ini turut memanfaatkan kelebihan biosekuriti bertaraf dunia di Australia, yang menempatkan satu-satunya populasi biri-biri di dunia yang diperakui bebas Scrapie dan mempunyai risiko BSE yang sangat rendah menurut Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).
Keunikan ini diperkukuh lagi dengan kawalan sempadan Australia yang ketat sejak penubuhan persekutuannya pada tahun 1901, yang membantu mengekalkan status bebas penyakit tersebut. Usahasama Ovicoll Pty Ltd ini turut direka untuk memperkukuh pengembangan pasaran global dengan memanfaatkan kepakaran gabungan kedua-dua syarikat dalam menembusi pasaran antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada strategi komersial, Holista telah memeterai perjanjian dengan Regenerex Pharma, sebuah syarikat yang sedang berkembang dalam sektor pembalut luka, bagi memperluaskan aplikasi produk kolagen tersebut ke dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan.
Holista Colltech Limited (ASX: HCT) merupakan syarikat kesihatan dan kesejahteraan yang disenaraikan di Australia dengan operasi utama di Malaysia. Syarikat ini memberi tumpuan kepada penyelesaian bioteknologi berasaskan sains melalui pelbagai segmen termasuk suplemen pemakanan, bahan makanan sihat, kolagen ovine dan kawalan jangkitan.
Sementara itu, Swang Chai Chuan Limited (HKEX:2321) ialah peneraju dalam sektor barangan pengguna cepat laris (FMCG) yang disenaraikan di Hong Kong. Kumpulan ini menyediakan perkhidmatan pengedaran, logistik dan pergudangan menyeluruh di Malaysia bagi pelbagai produk makanan, minuman dan barangan isi rumah.
0 Comments
Post a Comment