HSS Holdings Berhad melancarkan prospektus IPO syarikat itu hari ini sebagai persediaan untuk penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad, sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pertumbuhan dan operasi perniagaannya. IPO berkenaan melibatkan penerbitan awam sebanyak 75 juta saham baharu bersama tawaran jualan 52.5 juta saham sedia ada. Pada harga IPO RM0.18 sesaham, HSS dijangka memperoleh hasil kasar sebanyak RM13.5 juta.

Daripada jumlah tersebut, RM2.57 juta akan digunakan untuk perbelanjaan modal berkaitan Kemudahan Pembuatan Kumpulan, RM4.50 juta bagi pembayaran balik pinjaman bank, RM2.93 juta untuk modal kerja dan RM3.50 juta bagi menampung kos penyenaraian. HSS merupakan syarikat yang terlibat dalam penyumberan, perdagangan dan pembuatan produk bakeri. Dengan pengalaman operasi sejak tahun 2004, syarikat itu kini mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam industri serta rangkaian pengedaran yang luas melalui pemborong, pengedar dan peruncit di pasaran tempatan.

Kumpulan itu menawarkan lebih 6,000 SKU melibatkan pelbagai kategori termasuk kek, biskut, snek dan produk lain. Antara jenama utama syarikat ialah SINAR®, 合顺成饼家® dan Sa1ko®, selain turut membekalkan produk berjenama dan tidak berjenama bagi memenuhi permintaan pelanggan yang berbeza.

Melalui dana IPO, HSS merancang untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dengan melaksanakan beberapa inisiatif strategik seperti pemasangan barisan pengeluaran biskut baharu, menaik taraf barisan pengeluaran sedia ada, automasi proses pengeluaran terpilih dan pembangunan barisan pengeluaran kek automatik baharu.

Pengarah Urusan HSS Holdings Berhad, Goh Chen Chang berkata, pelancaran prospektus tersebut menjadi pencapaian penting dalam perkembangan korporat syarikat menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE. Beliau berkata, HSS telah membina asas yang kukuh dalam industri melalui rangkaian produk yang luas, sistem pengedaran yang mantap dan hubungan pelanggan yang telah lama terjalin. “IPO ini akan membantu kami memperkukuh kapasiti pengeluaran, meningkatkan kecekapan operasi dan menyokong pertumbuhan berterusan syarikat,” katanya.

Pengarah Eksekutif M & A Securities Sdn. Bhd., Datuk Bill Tan pula berkata, HSS memiliki kedudukan yang baik dalam pasaran produk bakeri domestik hasil pengalaman operasi lebih dua dekad dan portfolio produk yang pelbagai. Menurut beliau, pelaburan syarikat dalam automasi dan kemudahan pembuatan dijangka mampu mengukuhkan lagi asas operasi HSS selepas penyenaraian. M & A Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO tersebut.