Selepas setahun mewarnai industri muzik tempatan dengan pelbagai pencapaian membanggakan, kumpulan M-Pop sensasi ALPHA kini melakar satu lagi sejarah penting menerusi pelancaran album studio penuh pertama mereka berjudul “The First Wave”.
Pelancaran album tersebut berlangsung pada 14 Jun 2026 di Pavilion Damansara Heights bersempena sambutan ulang tahun pertama penubuhan ALPHA. Acara istimewa itu bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan album sulung mereka kepada umum, malah turut meraikan perjalanan seni yang penuh warna-warni bersama para peminat yang setia menyokong sejak kemunculan mereka.
Dianggotai oleh Daniel, Izat, Rizal, Ariel, Araff, Ray-D dan Sky, ALPHA terus membuktikan pengaruh mereka dalam industri hiburan tempatan menerusi persembahan bertenaga, konsep muzik yang segar serta sokongan peminat yang semakin berkembang dari semasa ke semasa.
Sebagai album penuh pertama yang diterbitkan di bawah naungan Rocketfuel Entertainment, “The First Wave” melambangkan kematangan dan perkembangan ALPHA sepanjang tahun pertama mereka sebagai sebuah kumpulan.
Album ini memuatkan 12 buah lagu yang menampilkan pelbagai elemen muzik dan genre berbeza, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian identiti ALPHA. Antara lagu yang terkandung dalam album tersebut termasuk “Mona Lisa (Bang Bang)”, “P. Ramlee Saloma”, “Bujang”, “Tiada Pengganti” serta single popular mereka, “Gelato” yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada peminat.
Selain itu, peminat turut berpeluang menikmati beberapa karya baharu seperti “Mahkota Cinta”, “Gerak”, “Roman Empire” dan “Dia” yang menampilkan kolaborasi bersama AG Coco, selain beberapa lagi lagu yang dijangka menjadi pilihan ramai.
Antara karya yang paling mencuri perhatian ialah “Burn It Down”, sebuah lagu yang dirakamkan di Korea Selatan ketika ALPHA mengikuti program latihan intensif “ALPHA Dreams Unlocked: Seoul Chapter” yang boleh ditonton menerusi Astro GO.
Lebih menarik, lagu tersebut dihasilkan dengan sentuhan komposer antarabangsa, Daniel Caesar dan Candace Sosa, yang pernah bekerjasama dengan artis K-Pop terkenal seperti BTS, TOMORROW X TOGETHER dan ENHYPEN. Pengalaman berharga di Seoul itu turut membuka peluang kepada ALPHA untuk memperluaskan jaringan kreatif mereka di peringkat antarabangsa.
Menurut Daniel Sher, album “The First Wave” merupakan hadiah istimewa buat para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan mereka sejak hari pertama.
“Rasanya seperti baru semalam kami memulakan perjalanan ini. Dalam tempoh setahun, kami belajar banyak perkara, berdepan pelbagai cabaran dan mencipta kenangan yang tidak ternilai. Album ini menjadi simbol kepada segala usaha dan pengorbanan yang telah kami curahkan sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Sementara itu, Izat Ibrahim berkata album tersebut memperlihatkan sisi ALPHA yang lebih matang dan berani meneroka pelbagai gaya muzik.
“Setiap lagu mempunyai identiti dan emosi tersendiri. Kami mencuba pelbagai genre dan menampilkan sisi baharu ALPHA yang mungkin belum pernah didengar oleh peminat sebelum ini,” ujarnya.
Bagi Ray-D pula, pelancaran album tersebut merupakan satu pencapaian besar buat seluruh anggota kumpulan.
“Album ini bukan sekadar himpunan lagu, tetapi rakaman perjalanan kami sebagai sebuah kumpulan, impian yang sedang kami kejar dan hubungan yang kami bina bersama peminat sepanjang tahun pertama ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam menyifatkan pelancaran “The First Wave” sebagai satu pencapaian penting bukan sahaja buat ALPHA, malah untuk perkembangan industri muzik tempatan.
Beliau berkata, kejayaan yang diraih ALPHA dalam tempoh singkat membuktikan mereka memiliki potensi besar untuk mengangkat identiti M-Pop Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.
Seiring dengan pelancaran album tersebut, ALPHA turut diumumkan sebagai duta rasmi platform penstriman Sooka. Kerjasama strategik ini bakal menawarkan pelbagai kandungan eksklusif serta pengalaman lebih dekat kepada para peminat.
Bermula 15 Jun 2026, Sooka memperkenalkan Pelan Sooka x ALPHA pada harga RM34.90 untuk tempoh tiga bulan. Pelan tersebut menawarkan akses kepada sehingga 79 saluran hiburan, lebih 50 mikrodrama, kandungan eksklusif ALPHA serta peluang memenangi sesi Meet & Greet, sesi hangout bersama kumpulan itu dan pelbagai barangan rasmi menarik.
Pelanggan juga akan menikmati akses kepada rakaman di sebalik tabir, temu bual eksklusif serta muzik video kolaborasi khas antara Sooka dan ALPHA yang hanya tersedia di platform tersebut.
Sambutan luar biasa terhadap album sulung mereka turut terbukti apabila sesi pertama pra-tempahan album dan barangan eksklusif yang dibuka pada 6 Jun lalu habis dijual sepenuhnya. Sesi kedua yang melibatkan penghantaran ke seluruh Malaysia dan Singapura pula akan dibuka selepas 15 Jun 2026.
Album fizikal “The First Wave” ditawarkan pada harga RM89.90, manakala pakej bundle eksklusif yang mengandungi album, t-shirt, stokin, topi dan beg tote dijual pada harga RM249.90.
Orang ramai serta para peminat dijemput memeriahkan pelancaran album sulung ALPHA yang berlangsung di Aras 2, Center Court, Pavilion Damansara Heights dari jam 12 tengah hari hingga 9 malam. Acara ini dianjurkan oleh Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama Pavilion Damansara Heights serta mendapat sokongan daripada Munchy’s Cream-O, Emina dan TikTok LIVE.



0 Comments
Post a Comment