Bukit Bintang yang biasanya sinonim dengan kemeriahan pusat beli-belah dan aktiviti pelancongan, baru-baru ini bertukar wajah menjadi medan ilmu apabila pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, membawakan program Quranic Madani – Night Reset: Bersatu Dalam Saf. Inisiatif tersebut dilihat sebagai satu 'jambatan dakwah' yang unik dalam usaha mendekatkan masyarakat kota dengan keindahan al-Quran.
Program yang dianjurkan secara percuma itu bukan sekadar majlis bacaan ayat suci, malah bertujuan untuk menyuntik kesedaran dan kecintaan terhadap mukjizat agung tersebut dalam kalangan warga kota tanpa mengira latar belakang usia. Menurut PU Riz, penganjuran majlis tersebut merupakan usaha untuk menghimpunkan seramai mungkin orang ramai bagi duduk bersama-sama dalam saf yang harmoni untuk membaca serta memahami intipati al-Quran.
“Matlamat kita adalah supaya masyarakat dapat bersama-sama menghayati kalam Allah di tempat terbuka seperti ini. Kita mahu melahirkan komuniti yang sentiasa dekat dengan al-Quran kerana sebaik-baik manusia adalah mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya,” katanya sambil menyitir hadis Rasulullah SAW.
Salah satu tarikan utama dalam majlis tersebut adalah fokus yang diberikan kepada pembinaan sahsiah generasi muda. PU Riz menekankan kepentingan memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak seawal usia tiga hingga sembilan tahun untuk mula berjinak-jinak dengan hafazan, khususnya bermula daripada Juzuk 30. Beliau percaya, penerapan budaya menghafal sejak kecil merupakan pelaburan terbaik bagi menjamin masa depan generasi yang berakhlak mulia.
Suasana tenang mula menyelubungi ruang di hadapan Pavilion Bukit Bintang seawal jam 8.30 malam apabila para hadirin mula memenuhi ruang yang disediakan. Dalam kesibukan bandar raya yang serba moden, kehadiran orang ramai yang duduk bersimpuh menghayati bacaan al-Quran memberikan gambaran jelas bahawa dakwah boleh dilaksanakan secara kreatif dan menyentuh hati di mana-mana sahaja.
Melalui program Quranic Madani ini, PU Riz mengharapkan agar usaha mengangkat martabat al-Quran di kawasan tumpuan ramai dapat menjadi asbab kepada turunnya keberkatan buat negara. Usaha ini bukan sahaja berjaya mempamerkan syiar Islam yang progresif, malah menjadi bukti bahawa budaya al-Quran mampu dihidupkan dengan segar walaupun di tengah-tengah kepesatan metropolitan.


0 Comments
Post a Comment