Apa sahaja watak yang diberikan kepada Zahiril Adzim pasti mampu dihidupkan dengan cukup berkesan sehingga penonton percaya dengan setiap karakter yang dibawakannya. Selepas mencuri perhatian menerusi watak Amir Daniel dalam Libang Libu dan menerima reaksi positif daripada penonton, kali ini Zahiril tampil dengan pembawaan karakter yang lebih berbeza dan mencabar.

Menerusi drama Bapa Mentuaku Mafia arahan Afiza Asram, Zahiril membawakan watak Ustaz Takdir, seorang ustaz muda yang santai, mudah didekati dan memiliki sifat humor tersendiri. Menurut Zahiril, walaupun drama tersebut sarat dengan elemen komedi, dirinya sebenarnya seorang yang serius dan tidak gemar melawak dalam kehidupan seharian.


“Karakter ini sangat menarik dan saya teruja untuk membawakannya. Ustaz Takdir merupakan seorang ustaz yang santai, easy going dan kelakar. Watak ini juga berbeza daripada gambaran ustaz yang sering diimaginasikan penonton. Pada masa kini, ramai ustaz muda tampil dengan pendekatan lebih dekat dengan golongan muda dan bagi saya, ia bukan sesuatu yang salah kerana cara itu lebih mudah menarik perhatian mereka,” katanya.

Tambah Zahiril, dia berharap dapat memberikan yang terbaik menerusi watak tersebut, lebih-lebih lagi apabila jalan cerita drama itu menyaksikan dirinya mempunyai bapa mentua seorang mafia. Pelakon itu juga mengakui seronok dapat bergandingan bersama Siti Hariessa sepanjang pembikinan drama berkenaan.




Selain Zahiril dan Siti Hariessa, drama ini turut dibintangi Dato’ Razak Ahmad, Auni Yusri, Nafiez Zaidi, Shweta Shekon, Aishah Atan dan Haeriyanto Hassan. Ketika diusik mengenai sikap latahnya di dunia sebenar, Zahiril menjawab dalam nada berseloroh bahawa semua dakwaan itu hanyalah “hikayat rakyat” dan dongeng semata-mata walaupun terdapat bukti yang kukuh.

Bapa Mentuaku Mafia mula ditayangkan pada 13 Mei 2026 di Astro Ria setiap Rabu dan Khamis pada pukul 9 malam. Drama ini mengisahkan Ustaz Takdir, seorang ustaz bertauliah yang terkenal kerana kebijaksanaan dan sifat lucunya. Selepas kehilangan ayah ketika masih bersekolah, Takdir tinggal bersama ibunya dan setia terhadap cinta pertamanya, Murni. Namun kehidupannya berubah apabila ketua mafia bernama Zack memaksanya berkahwin dengan anak perempuannya, Melissa, demi mengubah kehidupan keluarga mereka.

Sebagai seorang ustaz muda yang berpegang teguh kepada iman dan prinsip hidup, Takdir akhirnya terperangkap dalam dunia penuh bahaya yang sarat dengan kuasa, rahsia dan konflik kesetiaan. Kehadiran Melissa dan Murni menjadikan perjalanan hidupnya semakin rumit, sementara misinya untuk membantu mengubah kehidupan Dato’ Zack membuka lembaran baharu yang tidak pernah dijangkakan. Disulami elemen humor dan kisah ringan yang menghiburkan, drama ini turut menyampaikan mesej tentang kasih sayang, pengorbanan dan keinsafan dalam kehidupan.