Kejayaan Eckem Holdings Berhad (Eckem Holdings) merangkul Anugerah Pengedaran 2025 (Peringkat Platinum) daripada gergasi kimia global, Wacker Chemie AG (Wacker Chemie), menjadi bukti nyata keutuhan prestasi operasi Kumpulan sebelum ia melangkah secara rasmi ke Bursa Malaysia.

Pengiktirafan tertinggi daripada syarikat terkemuka yang berpangkalan di Jerman itu diberikan berasaskan pencapaian cemerlang Eckem Holdings dalam sektor pengedaran sepanjang tahun 2025. Sejak dilantik sebagai pengedar sah pada tahun 2023, penyedia penyelesaian kimia perindustrian khusus tempatan ini terus membuktikan keupayaannya sebagai rakan strategik utama dalam menghubungkan pasaran kimia khusus antarabangsa dengan sektor pembuatan di Malaysia.

Prestasi luar biasa di peringkat global ini menjadi pemangkin keyakinan paling tepat buat Kumpulan yang kini sedang menghitung hari menjelang lonjakan korporatnya melalui Tawaran Awam Permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 3 Julai 2026. Ditawarkan pada harga RM0.12 sesaham dengan nilai permodalan pasaran mencecah RM75.00 juta selepas penyenaraian, tempoh permohonan IPO yang dibuka sejak 25 Mei lalu kini sedang rancak menuju tarikh tutup pada 19 Jun 2026.

Menerusi prospektus rasminya, Eckem Holdings telah merangka strategi serangkai bagi memanfaatkan dana hasil IPO tersebut untuk memacu pertumbuhan jangka panjang. Modal yang diraih bakal digunakan untuk pembinaan infrastruktur baharu merangkumi pejabat korporat, gudang, dan makmal, selain memperluas barisan pengeluaran bagi segmen pembuatan dan perdagangan produk getah. Baki dana pula diperuntukkan untuk pembayaran balik pinjaman bank, keperluan modal kerja, serta kos perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Eksekutif Eckem Holdings Berhad, Encik Tan Khai Jeik (Jack Tan) menyifatkan penganugerahan Platinum ini sebagai cerminan kepada dedikasi pasukan mereka dalam mengekalkan kebolehpercayaan perkhidmatan, sokongan teknikal yang jitu, dan hubungan pelanggan jangka panjang. Beliau optimis pencapaian ini bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Kumpulan dalam industri kimia perindustrian khusus, malah memantapkan lagi komitmen mereka dalam menyokong seluruh ekosistem pembuatan negara.

Wacker Chemie terkenal sebagai sebuah kumpulan bahan kimia khusus global dengan portfolio luas merangkumi silikon, polimer, biosolusi, dan polisilikon yang menawarkan perkhidmatan di lebih 100 buah negara. Rekod prestasi bertaraf Platinum bersama entiti global ini dijangka menjadi sandaran kuat bagi menarik sentimen positif dan keyakinan padu daripada para pelabur sebelum tempoh tawaran IPO ditutup minggu hadapan.