Penyanyi muda Boboy hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Tanpa Ada Kepastian, sebuah lagu balada yang mengetengahkan kisah cinta yang tergantung tanpa arah yang jelas. Lagu ini menggambarkan perasaan seseorang yang terus bertahan dalam hubungan walaupun tidak pernah memperoleh kepastian tentang masa depannya.

Boboy berkata, karya tersebut dipilih kerana mesej yang dibawakan sangat dekat dengan realiti kehidupan masa kini. Pengalaman peribadinya yang pernah melalui situasi serupa turut membantu beliau menyampaikan emosi lagu dengan lebih mendalam dan autentik.


Di sebalik penghasilan lagu ini, Ilham Baso menjelaskan bahawa inspirasi utama datang daripada kisah-kisah benar yang sering berlaku di sekelilingnya. Beliau mahu menghasilkan sebuah lagu yang mampu mewakili suara mereka yang sedang bergelut dengan hubungan yang tidak mempunyai penghujung yang jelas.

Diperkuatkan dengan susunan muzik balada yang menyentuh jiwa, Tanpa Ada Kepastian diharap mampu menjadi karya yang dekat di hati pendengar serta memberi kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan situasi yang sama.