Sebagai tanda penghargaan terhadap perjalanan seni yang menjangkau 24 tahun, UNIC memperkenalkan projek khas UNICOUSTIC PODCAST, sebuah gabungan unik antara muzik akustik dan penceritaan berbentuk podcast.
Melalui projek ini, lagu-lagu daripada album pertama UNIC diberikan nafas baharu menerusi susunan akustik yang lebih kontemporari. Pada masa yang sama, setiap episod podcast membawa pendengar menyelami sejarah awal kumpulan tersebut, kisah pembikinan lagu serta pengalaman suka dan duka yang dilalui oleh Dr. Fitri Haris, Bazli Hazwan dan Fakhrul Radhi sepanjang bergelar anggota UNIC.
Projek yang merangkumi 10 lagu dan 10 episod podcast ini berjaya direalisasikan hasil Geran Dana Kandungan Kreatif daripada Kementerian Komunikasi dan Digital melalui My Creative Venture. Sokongan tersebut disifatkan sebagai satu suntikan penting kepada penggiat industri kreatif, khususnya dalam bidang nasyid.
UNIC berharap projek ini dapat menjadi jambatan yang menghubungkan semula peminat dengan nostalgia awal perjalanan mereka, sekali gus menghargai sokongan yang diberikan sepanjang lebih dua dekad berkarya.


0 Comments
Post a Comment