Tiga figura terkenal dalam dunia muzik rock tempatan, iaitu Aepul Roza, Aweera dan Fiq Halim, kembali bergabung menerusi projek istimewa yang dikenali sebagai Trilogi dengan pelancaran rasmi muzik video single terbaharu mereka berjudul “Gila”. Majlis pelancaran tersebut berlangsung di Astana Putra dan menandakan permulaan baharu buat gabungan tiga vokalis berbakat ini.
Single “Gila” merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Aepul Roza dan turut menjadi karya sulung yang diterbitkan di bawah label miliknya sendiri, Aepul Roza Music. Lagu ini menyatukan kembali tiga suara rock yang pernah mencipta perhatian menerusi lagu “Selamatkan Aku” pada tahun 2017, namun kali ini tampil dengan identiti yang lebih segar melalui penjenamaan Trilogi.
Nama Trilogi dipilih sebagai simbol kepada tiga perjalanan seni, tiga kisah dan tiga karakter vokal yang digabungkan dalam sebuah karya yang lebih matang serta penuh jiwa. Menerusi lagu “Gila”, mereka memperkenalkan konsep rockestra yang menggabungkan kekuatan muzik rock dengan elemen orkestra yang dramatik dan sinematik, sekali gus menyerlahkan keunikan vokal setiap anggota.
Dari segi penceritaan, lagu ini mengangkat tema kekecewaan dan kesedihan yang mendalam. Ia menggambarkan luahan emosi seseorang yang terperangkap dalam rasa kehilangan dan kepedihan, namun tidak mampu mengungkapkan segala yang terbuku di hati melalui kata-kata.
Proses rakaman “Gila” mengambil masa kira-kira dua minggu dengan sentuhan produksi daripada Aepul Roza bersama Daus Drama selaku produser muzik. Kerjasama tersebut bertujuan memastikan lagu ini hadir dengan identiti tersendiri serta memenuhi citarasa pendengar masa kini.
Menurut Aepul Roza, Trilogi bukan sekadar projek kolaborasi sementara, sebaliknya merupakan perancangan jangka panjang yang bakal diteruskan menerusi penghasilan sebuah mini album yang mengandungi enam buah lagu. Album tersebut kini sedang dalam proses pembikinan dan dijangka siap dalam masa terdekat.
Bagi melengkapkan perjalanan projek ini, Trilogi juga merancang untuk bertemu peminat menerusi sebuah konsert khas yang akan berlangsung pada 18 Julai 2026 di Big Pillars Hall. Konsert itu dijangka menjadi platform terbaik untuk mempersembahkan karya-karya baharu mereka secara langsung kepada peminat.
Pelancaran muzik video “Gila” menjadi titik permulaan kepada perjalanan baharu Trilogi dalam mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik tempatan, sekali gus membuktikan bahawa muzik rock Malaysia masih relevan dan terus mendapat tempat dalam kalangan pencinta muzik.
0 Comments
Post a Comment