Percintaan, konflik keluarga dan peluang kedua menjadi ramuan utama dalam Viu Original baharu berjudul Ate Kome, I Love You! (Hey You, It’s Just Love). Siri 12 episod ini bakal menemui penonton bermula 25 Jun 2026 dengan dua episod baharu setiap minggu pada hari Khamis dan Jumaat.

Aniq Suhair dan Bella Dowanna dipilih menerajui siri ini sebagai Mamat dan Mila, dua individu yang mempunyai sejarah silam yang tidak begitu manis. Mereka membesar dalam suasana penuh persengketaan akibat konflik yang berlaku antara keluarga masing-masing.

Di bawah arahan Helmi Yusof, kisah ini berkembang daripada sebuah hubungan yang penuh kebencian kepada sesuatu yang jauh lebih mendalam. Turut menjayakan siri ini ialah Amy Mastura, Ieda Moin dan Nurel Baharin.

Selepas gagal mempertahankan rumah tangganya, Mila mengambil keputusan untuk memulakan kehidupan baharu. Namun kehidupannya menjadi semakin sukar apabila dia terpaksa menanggung hutang yang ditinggalkan bekas suaminya.

Ketika cuba mencari jalan keluar, dia dipertemukan semula dengan Mamat. Walaupun hubungan mereka tidak pernah baik, lelaki itu tampil membantu ketika Mila berada dalam keadaan paling memerlukan.

Daripada hanya menumpang tempat tinggal, hubungan mereka mula berubah apabila masing-masing mula memahami kisah hidup dan luka yang pernah mereka lalui. Situasi yang pada awalnya tegang bertukar menjadi lebih manis dan menghiburkan.

Melengkapkan lagi siri ini ialah lagu tema Syarat Cinta nyanyian ALVN yang membawa mesej tentang cinta, harapan dan kemaafan. Lagu tersebut menjadi nadi kepada perjalanan emosi yang dilalui watak-watak utama.

Untuk meraikan pelancaran siri ini, Viu dan POKKA akan mengadakan sesi Meet & Greet eksklusif bersama para pelakon pada 17 Julai 2026 di Sunway Pyramid. Peminat boleh menantikan pelbagai aktiviti menarik yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Dalam masa yang sama, Viu turut bersiap sedia memperkenalkan pakej langganan bersama iQIYI International yang bakal menawarkan akses kepada pelbagai kandungan premium Asia dalam satu platform yang lebih lengkap.