Global Ehsan Relief mengajak masyarakat bersama-sama menjayakan majlis makan malam amal Dari Kasih ke Ehsan, sebuah inisiatif yang bertujuan mengumpul dana bagi memperkasakan pelbagai program kebajikan dan bantuan kemanusiaan.

Program yang akan berlangsung pada 14 Ogos 2026 di Dewan Tun Rahah, Kuala Lumpur itu bakal menampilkan persembahan kumpulan nasyid Inteam, tausiyah daripada barisan duta Global Ehsan Relief Malaysia serta dikendalikan oleh pengacara terkenal, Fedtri Yahya.

Menurut Pengarah Program, Suffi Shukor, majlis tersebut direka bagi memberi pengalaman yang lebih bermakna kepada tetamu melalui perkongsian kisah sebenar misi kemanusiaan, sekali gus menginspirasikan lebih ramai individu untuk turut menyumbang kepada usaha kebajikan.

Dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada Ehsan Lokal, Bantuan Kecemasan Gaza, Bantuan Musim Sejuk dan Projek Umrah Anak Yatim dengan sasaran kutipan sebanyak RM500,000.

Jualan tiket individu telah dibuka pada harga bermula RM175, manakala pakej meja korporat ditawarkan antara RM5,000 hingga RM25,000 dengan kelebihan pelepasan cukai kepada penyumbang yang layak.