Festival Warisan Selera Selatan 2026 kembali memeriahkan Evo Mall, Bandar Baru Bangi dengan pelbagai sajian tradisional yang mengetengahkan keunikan kulinari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Berlangsung dari 26 hingga 28 Jun 2026, festival ini menghimpunkan lebih 25 vendor dengan hampir 200 pilihan makanan warisan yang sukar ditemui pada hari ini.

Selain menikmati hidangan asli seperti Mee Rebus Haji Wahid, Asam Pedas Melaka, Masak Lemak Cili Api, Dodol Melaka, Lemang Periuk Kera dan Nasi Ambeng, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk demonstrasi masakan, persembahan Zapin dan Kuda Kepang, pertandingan memasak, pertandingan busana tradisional, sesi perkongsian budaya serta cabutan bertuah.

Festival ini turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti, pempengaruh serta pelbagai persembahan kebudayaan yang menjadikan FWSS 2026 sebagai platform terbaik untuk menghargai dan memelihara khazanah makanan tradisi negara.