Semangat muzik rock tempatan kembali menyala menerusi penganjuran RockHauz Volume 1 yang berlangsung meriah di BE KL, Cheras pada Sabtu lalu. Acara yang menghimpunkan gabungan pemuzik muda serta figura berpengaruh dalam industri itu berjaya mencipta malam penuh tenaga, semangat persaudaraan dan kecintaan terhadap muzik secara langsung.

Dianjurkan sebagai platform untuk menghidupkan semula budaya gig dan persembahan live, RockHauz Volume 1 turut membuka ruang kepada bakat-bakat baharu untuk mengetengahkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas. Antara nama yang menjayakan acara tersebut ialah Suav, The Alif, BigTones dan The Rudean, selain penampilan istimewa gitaris tersohor tanah air, Edrie Hashim.

Persembahan yang bermula sekitar jam 8 malam dimulakan oleh Suav sebelum pentas diteruskan dengan kemunculan The Alif yang menghiburkan penonton menerusi lagu-lagu seperti Substansi, Ya Ya Ya, The Story, Antologi Sakit Otak, Obsessive Love Disorder dan Radio.

Momentum malam tersebut diteruskan oleh BigTones yang tampil dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Tangkap Muat, Funky Si Bebal, Melodi Untukmu, Pemuda Al-Bana serta sebuah tribute khas berjudul Jerangkung Dalam Almari yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.

Salah satu detik paling dinanti-nantikan sepanjang acara ialah segmen khas Edrie Hashim's Experience yang menyaksikan kemunculan Edrie Hashim di pentas RockHauz. Beliau membuka persembahan dengan lagu Last Caress nyanyian asal Misfits sebelum mempersembahkan karya instrumental solo, Terpaling.

Tidak terhenti di situ, Edrie turut memukau hadirin menerusi persembahan Answers, karya gitar virtuoso terkenal Steve Vai sebelum menutup set dengan lagu ciptaan terbaharunya berjudul Caramel Mocha Latte Rindu.

Kehadiran Edrie Hashim memberikan dimensi tersendiri kepada acara tersebut apabila beliau dilihat menjadi jambatan yang menyatukan generasi lama dan baharu dalam industri muzik tempatan. Selepas acara, beliau turut meluahkan rasa bangga terhadap kesungguhan dan komitmen yang dipamerkan oleh kumpulan-kumpulan muda yang menjayakan RockHauz Volume 1.

Menurut beliau, semangat serta keberanian generasi baharu dalam memperjuangkan muzik rock merupakan perkembangan positif yang mampu memastikan kelangsungan dan perkembangan scene muzik tempatan pada masa hadapan.

RockHauz Volume 1 turut berjaya mencapai matlamat utamanya sebagai platform yang memberi peluang kepada pemuzik muda berkongsi pentas bersama nama-nama yang lebih berpengalaman. Dalam suasana industri yang semakin kekurangan ruang persembahan secara langsung, inisiatif seperti ini dilihat penting dalam membantu artis baharu memperkenalkan karya mereka sambil membina jaringan yang lebih kukuh dalam komuniti muzik.

Lebih daripada sekadar sebuah showcase muzik, RockHauz Volume 1 membuktikan bahawa genre rock masih mempunyai tempat yang istimewa dalam hati peminat, khususnya golongan muda yang terus memberikan sokongan terhadap karya tempatan dan pengalaman menikmati persembahan secara langsung.

Melihat kepada sambutan yang diterima, penganjur turut menyatakan hasrat untuk meneruskan RockHauz sebagai platform berterusan yang mampu melahirkan lebih banyak peluang kepada bakat baharu serta mengeratkan hubungan antara pemuzik, pemain industri dan peminat muzik.

Kejayaan edisi sulung ini sekali gus meletakkan RockHauz sebagai antara platform berpotensi dalam memperkukuhkan semula budaya gig dan muzik alternatif di Malaysia. Ia menjadi bukti bahawa semangat Rock N Roll masih terus hidup, berkembang dan diwarisi oleh generasi baharu yang bersedia membawa legasi tersebut ke tahap yang lebih tinggi.