Penyanyi Sabhi Sadhi sekali lagi tampil dengan karya yang menyentuh hati menerusi single terbaharunya, ROMANSA, yang mengangkat kisah cinta, kesetiaan dan pengorbanan dalam sesebuah hubungan.

Sabhi berkata, beliau amat menitikberatkan aspek pemilihan lagu dan sentiasa memastikan setiap karya yang diterbitkan mempunyai mesej yang positif serta mampu memberi inspirasi kepada pendengar.

Selepas kejayaan Cinta Sesungguhnya, beliau mengakui cabaran terbesar adalah untuk menghasilkan karya yang mampu memberikan impak yang sama kuat. Namun, fokus utamanya tetap tertumpu kepada usaha memperbaiki dan meningkatkan mutu karya sendiri.

Walaupun sering dikaitkan dengan lagu bertemakan cinta dan perkahwinan, Sabhi tidak melihat perkara itu sebagai satu kekangan. Sebaliknya, beliau bersyukur apabila lagu-lagunya dipilih untuk mengiringi hari bahagia pasangan yang mendirikan rumah tangga.

ROMANSA merupakan hasil kolaborasi bersama Farouk Roman dan Senna yang berjaya menghasilkan sebuah karya penuh emosi dengan melodi romantis serta lirik yang dekat dengan realiti kehidupan.

Muzik video lagu ini turut menampilkan penceritaan yang lebih dramatik apabila mengisahkan perjalanan cinta pasangan yang terpisah sebelum kembali bertemu dan disatukan dalam perkahwinan.

Sabhi berharap ROMANSA mampu menyentuh hati pendengar serta mencapai kejayaan yang lebih besar, sekali gus menjadi antara karya yang terus dikenang dalam industri muzik tempatan.