Bersedia untuk menyelami sebuah pengalaman sinematik yang bukan sahaja bakal menguji tahap keberanian anda, malah merentap emosi sehingga ke tangisan paling dalam. Sediakan tisu sebelum anda senyap ketakutan, kerana filem seram emosional paling dinanti-nantikan tahun ini, Khadam, kini bersiap sedia untuk menghantui lebih 120 pawagam di seluruh negara bermula 11 Jun ini. Selepas mencetuskan keterujaan luar biasa menerusi rangkaian poster dan treler rasmi sejak beberapa minggu lalu, fasa akhir promosi naskhah ini telah diraikan dengan penuh gilang-gemilang menerusi Malam Tayangan Perdana yang berlangsung malam tadi.

Berbeza dengan filem seram konvensional yang hanya mementingkan elemen kejutan (jumpscare), Khadam hadir mengangkat ketakutan paling dekat dengan masyarakat Melayu, iaitu isu pewarisan saka yang tidak boleh ditolak, kesetiaan yang diuji, dan harga mahal yang perlu dibayar apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kejahatan. Berlatarbelakangkan era tahun 1950-an, naratif filem ini menjejaki perjalanan air mata Melor, seorang ibu yang berusaha keras melindungi keluarganya daripada entiti ghaib yang telah diwarisi turun-temurun, sehinggakan dia mula kehilangan kawalan terhadap kehidupannya sendiri.

Pengarahnya, Shamyl Othman, menjelaskan bahawa keseraman kisah ini lari daripada acuan biasa kerana ia tidak datang daripada entiti saka itu sendiri, melainkan daripada runtuhan emosi watak-wataknya serta akibat buruk apabila manusia memilih untuk bersekutu dengan kegelapan. Melalui lakon layar yang cukup teliti hasil nukilan Fariza Azlina Isahak, watak Melor digarap sebagai seorang wanita yang kehilangan suara sama ada secara fizikal mahupun simbolik, sekali gus membiarkan kekuatan visual dan penderitaan batin seorang ibu mengambil alih peranan dialog bagi merentap emosi penonton.

Menurut Penerbit Eksekutif, Datuk Ahmad Izham Omar, Khadam dibangunkan dengan standard kualiti yang sangat tinggi untuk pasaran antarabangsa. Diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions, projek mega ini berjaya menghimpunkan jaringan rakan strategik dari seluruh rantau termasuk Magma Entertainment dan VMS Studios (Indonesia), Sil Metropole Organisation Ltd. (Hong Kong), Applause Entertainment (India), serta Primeworks Studios dan Golden Screen Cinemas (Malaysia), dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Skala produksi bertaraf global ini turut menampilkan gandingan mantap merentas negara antara bintang tersohor Indonesia, Aghniny Haque yang memegang watak Melor, bersama hero Malaya, Datuk Remy Ishak sebagai Awang. Barisan pelakon turut diperkuatkan oleh Siti Khadijah Halim, bakat baharu Karl' El, pelakon muda Zarra Zhaff, dan kemunculan istimewa Jun Lojong sebagai Nek Mak.

Suasana magis dunia Khadam yang sarat dengan emosi dan debaran turut dibawa ke ruang nyata pada Malam Tayangan Perdana malam tadi melalui reka bentuk binaan audio guruh dan hujan, sebelum diserikan dengan persembahan syahdu daripada Ernie Zakri menerusi lagu tema rasmi, Tak Berlagu. Barisan pelakon pula tampil memukau di atas karpet merah dengan mengenakan busana rekaan eksklusif daripada Behati, selain mendapat sokongan padu daripada rakan penaja seperti Holiday Inn Kuala Lumpur Bangsar, St. Giles Boulevard Hotel, Hyatt House Hotel, dan penaja minuman Per'l.

Reaksi awal daripada penggiat industri dan media selepas tayangan tamat memperlihatkan nada yang amat memberangsangkan, dengan rata-ratanya mengakui naskhah ini berjaya membuatkan penonton mengalirkan air mata kelukaan dalam ketakutan. Diedarkan oleh GSC Movies dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran bersama, Khadam yang turut dijangka menemui pasaran Singapura dan Indonesia selepas ini sedia membuktikan bahawa apabila lampu dewan kembali menyala, kisah pengorbanan ini akan terus tinggal dan mengganggu fikiran penonton.