Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air dengan deretan karya malar segar, kumpulan Spider akhirnya bakal merealisasikan sebuah konsert berskala besar yang menjadi impian mereka dan peminat sekian lama.

Diberi nama Spideraya, konsert istimewa ini akan berlangsung pada 26 September 2026 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam. Acara tersebut dijangka menjadi sebuah perayaan muzik yang menghimpunkan perjalanan seni Spider bersama peminat setia yang sentiasa menyokong mereka sejak penubuhan kumpulan itu.

Menurut penganjur, B7 Resources Sdn. Bhd., Spideraya bukan sekadar sebuah konsert biasa, sebaliknya sebuah penghargaan terhadap legasi dan pengaruh besar Spider dalam industri muzik tempatan.


Wakil B7 Resources Sdn. Bhd., Khairul Afizi (Khai) berkata, pemilihan nama Spideraya melambangkan satu sambutan istimewa terhadap evolusi muzik Spider sepanjang lebih 30 tahun berkarya.

“Spider merupakan antara kugiran legenda tanah air yang memiliki katalog lagu yang terus relevan merentasi generasi. Dari era album Ngam Ho yang diterbitkan pada tahun 1998 sehingga album Ankabut pada 2016, karya mereka masih mendapat tempat di hati peminat sehingga hari ini.

“Spider tidak perlu membuktikan kehebatan mereka secara berlebihan kerana kualiti muzik dan kredibiliti yang dibina selama ini sudah cukup untuk menjadikan mereka antara kumpulan terbaik negara,” katanya.

Tambah beliau, Spideraya turut menggambarkan hubungan erat antara Spider dan peminat daripada pelbagai generasi, termasuk golongan Milenial dan Gen Z yang masih mengenali lagu-lagu ikonik seperti Aladin, Relaku Pujuk, Mungkinkah Terjadi dan Kasad Terlarang.

Dalam pada itu, vokalis Spider, Tam, menyifatkan penganjuran Spideraya sebagai sebuah projek yang selari dengan visi dan misi kumpulan tersebut dalam menghasilkan impak positif kepada industri hiburan tempatan.

Menurutnya, keputusan untuk menjayakan Spideraya dibuat selepas perbincangan dan penelitian yang mendalam kerana mereka mahu memastikan konsert tersebut meninggalkan kenangan serta nilai yang bermakna kepada semua pihak.

“Bagi Spider, setiap persembahan bukan sekadar untuk menghiburkan penonton. Apa yang lebih penting adalah bagaimana sesuatu penganjuran itu mampu memberi kesan positif bukan sahaja kepada kami dan peminat, tetapi juga kepada perkembangan industri hiburan secara keseluruhan.

“Kami sentiasa memandang serius setiap perkara yang dilakukan sepanjang perjalanan seni ini. Sebab itu Spideraya bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perayaan yang akan menjadi sebahagian daripada sejarah perjalanan Spider,” katanya.

Beliau turut menjanjikan sebuah persembahan bertemakan ‘perayaan’ yang bakal memberikan pengalaman istimewa dan sukar dilupakan kepada para peminat.

Tiket Spideraya kini ditawarkan mengikut beberapa kategori iaitu

  • ALADIN (RM158), 
  • KITA SATU (RM148)
  • NGAM HO (RM168)
  • ANKABUT (RM208)
  • BINTANG 12 (RM238) 
  • NAZRAKU (RM268)

Orang ramai yang ingin menjadi sebahagian daripada perayaan muzik bersejarah ini boleh mendapatkan tiket menerusi platform Ticket2U.