Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS), yang dikenali menerusi slogan “Soorga Emas Preloved”, merancang untuk membuka antara 25 hingga 30 cawangan baharu di seluruh negara tahun ini bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi terhadap pembelian dan simpanan emas.

Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat berkata, pembukaan cawangan ke-16 di Bandar Baru Bangi merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperluaskan akses pelanggan terhadap produk dan perkhidmatan emas, khususnya di kawasan Lembah Klang Selatan yang semakin pesat membangun.

Menurut beliau, faktor pertumbuhan populasi serta kesedaran masyarakat yang semakin meningkat mengenai kepentingan emas sebagai instrumen simpanan jangka panjang menjadi antara sebab utama pemilihan lokasi tersebut.

Tambahnya, cawangan baharu itu turut membantu mengurangkan kebergantungan pelanggan dari kawasan lain seperti Seremban dan Melaka yang sebelum ini mendapatkan perkhidmatan di cawangan sedia ada.

Sempena pembukaan tersebut, pelanggan ditawarkan diskaun RM20 bagi setiap gram emas yang dibeli serta peluang menyertai cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah kereta.

Shaaini turut memaklumkan bahawa hasil pendapatan syarikat meningkat lebih 60 peratus berbanding tahun lalu, didorong oleh pembukaan lebih 15 cawangan baharu dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Syarikat juga dijadual membuka cawangan ke-17 di Kemaman, Terengganu sebelum meneruskan pengembangan ke Sungai Petani, Kedah.

Dalam usaha memperkukuh operasi, KESS kini sedang menyiapkan kilang emas miliknya di Puncak Alam yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada Ogos ini. Menariknya, pelanggan bakal berpeluang menyaksikan sendiri proses pengeluaran emas secara terbuka.