Anugerah Industri Muzik (AIM), pentas pengiktirafan muzik paling berprestij di Malaysia sejak diperkenalkan pada tahun 1993, bakal melakar sejarah baharu apabila edisi Jubli Peraknya, AIM25, akan berlangsung buat pertama kali di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak pada 26 September 2026.
Selepas 25 tahun meraikan pencapaian penggiat industri muzik tempatan, AIM25 membuka satu bab baharu apabila penganjurannya buat julung-julung kali diadakan di luar Semenanjung Malaysia. Perjalanan bersejarah ini bukan sahaja memperluaskan skop pengiktirafan muzik negara, malah memberi peluang untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya, bahasa dan kreativiti yang menjadi identiti muzik Malaysia.
TVS dipilih sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25, memainkan peranan penting dalam membawa kemeriahan acara berprestij ini dari Kuching kepada penonton di seluruh negara menerusi siaran televisyen, saluran digital serta platform penstriman percuma TVS Inspire.
AIM25: Menghargai Legasi 25 Tahun Industri Muzik
Sejak ditubuhkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) pada tahun 1993, AIM telah menjadi platform utama dalam menghargai hasil karya dan pencapaian artis, pencipta lagu, penerbit, pemuzik serta individu kreatif yang menyumbang kepada perkembangan industri muzik Malaysia.
Sebagai wakil kepada pemegang hak rakaman muzik tempatan serta ahli kepada International Federation of the Phonographic Industry (IFPI), RIM terus memainkan peranan dalam memperkukuhkan landskap industri rakaman dan memastikan ekosistem muzik negara terus berkembang.
Sambutan Jubli Perak AIM25 bukan sekadar meraikan sebuah acara anugerah, tetapi turut menjadi simbol perjalanan panjang industri muzik Malaysia yang terus berubah mengikut perkembangan semasa, sambil mengekalkan kepelbagaian genre, bahasa dan budaya.
Kuching Dipilih Sebagai Pentas Bersejarah AIM25
Pemilihan Kuching sebagai lokasi AIM25 menjadi satu penghormatan besar buat Sarawak dan seluruh komuniti muzik negara. Buat pertama kali, pentas AIM akan dibawa ke Borneo bagi menghimpunkan karya dan bakat terbaik dari seluruh Malaysia.
Lebih daripada sekadar lokasi penganjuran, Kuching bakal menjadi titik pertemuan yang menyatukan pelbagai warna muzik daripada Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam satu malam penuh pengiktirafan.
Penganjuran AIM25 di Sarawak turut memperlihatkan potensi negeri itu sebagai destinasi utama untuk acara seni, budaya dan hiburan bertaraf nasional, selain membuka lebih banyak peluang kepada perkembangan industri kreatif dan sektor pelancongan.
Kategori Baharu Cerminkan Kepelbagaian Muzik Malaysia
Bersempena edisi istimewa AIM25, dua kategori baharu diperkenalkan bagi memberikan pengiktirafan terhadap kepelbagaian budaya dan perkembangan muzik tempatan.
Kategori “LAGU BORNEO TERBAIK” memberi penghargaan kepada karya yang mengetengahkan keunikan budaya, bahasa, tradisi dan identiti masyarakat Sabah serta Sarawak, termasuk karya yang membawa semangat komuniti Borneo.
Sementara itu, kategori “LAGU PERAYAAN TERBAIK” diwujudkan bagi meraikan karya muzik yang menggambarkan nilai, kemeriahan dan tradisi sambutan perayaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Pengenalan kategori baharu ini membuktikan komitmen AIM untuk terus berkembang bersama industri muzik negara serta memastikan lebih banyak karya dengan latar budaya berbeza mendapat pengiktirafan.
Sokongan Memperkasa Industri Kreatif Malaysia
AIM25 turut mendapat sokongan strategik daripada pihak kerajaan sebagai tanda penghargaan terhadap peranan industri muzik dalam memperkukuhkan ekonomi kreatif negara.
Melalui Kementerian Komunikasi, sebanyak RM950,000 Dana Pengiktirafan akan disalurkan kepada pemenang bagi 16 kategori AIM25 menerusi peruntukan pembangunan yang ditadbir oleh MyCreative Ventures (MyCV).
Sokongan ini mencerminkan usaha berterusan untuk menggalakkan kecemerlangan seni, menghargai bakat tempatan serta memperkukuhkan kedudukan industri kreatif Malaysia.
Selain itu, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP Sarawak) turut memberikan sokongan menerusi Geran Sokongan Acara MTCP Sarawak bagi membantu menjayakan AIM25 sebagai acara seni dan budaya bertaraf nasional.
TVS Membawa AIM25 Lebih Dekat Kepada Rakyat Malaysia
Sejak penubuhannya pada tahun 2020, TVS terus berkembang sebagai platform penyiaran yang mengetengahkan cerita, budaya dan aspirasi masyarakat Sarawak kepada penonton seluruh Malaysia.
Dengan kandungan berita dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Iban dan Mandarin, TVS memainkan peranan dalam meraikan kepelbagaian masyarakat menerusi kandungan yang lebih terbuka dan inklusif.
Pada suku pertama 2026, TVS merekodkan pencapaian membanggakan dengan 93.1 juta tontonan televisyen serta 403 juta tontonan menerusi platform digital dan media sosial.
Melalui TVS 122 yang boleh ditonton menerusi MYTV, Unifi TV dan Astro serta platform penstriman percuma TVS Inspire, lebih ramai penonton berpeluang mengikuti kemeriahan AIM25 dari Kuching.
CATS FM Lengkapkan Capaian AIM25
CATS FM turut diumumkan sebagai Rakan Radio Rasmi AIM25, melengkapkan usaha memperluaskan capaian acara ini kepada pendengar di seluruh Sarawak dan Malaysia.
Sebagai stesen radio yang rapat dengan masyarakat Sarawak, CATS FM akan berkongsi perkembangan, promosi serta kandungan khas berkaitan AIM25 menjelang malam kemuncak anugerah.
Kerjasama ini akan memastikan perjalanan AIM25 dapat dirasai bukan sahaja menerusi televisyen dan digital, tetapi juga melalui gelombang radio yang dekat dengan pendengar.
“HITS 122 Edisi AIM25” Dekati Peminat Muzik
Bagi membawa penonton lebih dekat dengan perjalanan menuju AIM25, TVS turut memperkenalkan “Hits 122 Edisi AIM25”, sebuah siri khas 13 episod yang mengetengahkan kisah, karya dan individu penting dalam industri muzik Malaysia.
Bermula 25 Julai 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam menerusi TVS 122, rancangan ini akan memaparkan sejarah AIM, kisah pemenang terdahulu, calon terpilih serta perjalanan kreatif di sebalik penghasilan muzik tempatan.
Dengan fokus kepada elemen Promote, Excite, Educate, Highlight, Engage dan Elevate, program ini bertujuan memperluaskan apresiasi terhadap muzik Malaysia serta membina keterujaan menjelang AIM25.
AIM25 bakal berlangsung pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak dan akan disiarkan menerusi TVS 122 (MYTV, Unifi TV dan Astro), selain boleh ditonton secara penstriman melalui TVS Inspire.

0 Comments
Post a Comment