Butterfingers Bawa Peminat Menelusuri Semula Era 90-an Menerusi Sambutan 30 Tahun
Butterfingers bakal membuka kembali lembaran sejarah muzik mereka menerusi sambutan ulang tahun ke-30 album sulung, 1.2 Milligrams, yang akan berlangsung menerusi dua showcase khas di Odeon KL Event Hall pada 8 dan 9 Ogos 2026.
Selepas tiga dekad sejak album tersebut diperkenalkan kepada peminat pada tahun 1996, 1.2 Milligrams kekal sebagai salah satu karya yang mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan muzik alternatif Malaysia. Album ini bukan sahaja menjadi permulaan kepada nama Butterfingers dalam industri, malah menjadi runut bunyi kepada sebuah generasi yang membesar bersama muzik rock alternatif.
Ketika era 90-an menyaksikan pengaruh besar muzik grunge, punk dan rock alternatif berkembang di seluruh dunia, Butterfingers tampil dengan pendekatan tersendiri. Mereka menggabungkan tenaga gitar yang agresif dengan susunan melodi yang kuat, menghasilkan karya yang mempunyai identiti unik dan terus dikenang sehingga hari ini.
Menerusi showcase istimewa ini, Butterfingers akan mempersembahkan keseluruhan album 1.2 Milligrams secara langsung kepada peminat. Tidak terhad kepada lagu-lagu daripada album tersebut, persembahan ini turut menampilkan beberapa rakaman demo yang sebelum ini tidak pernah dipersembahkan di atas pentas, menjadikan pengalaman itu lebih eksklusif.
Showcase pertama akan berlangsung pada Sabtu, 8 Ogos 2026 dalam suasana persembahan malam, sebelum diteruskan dengan showcase petang pada Ahad, 9 Ogos 2026 yang menawarkan pengalaman lebih dekat dan intim bersama peminat. Penganjuran dua persembahan ini memberi peluang kepada lebih ramai penyokong lama serta pendengar baharu untuk bersama-sama meraikan sebuah karya yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.
Bagi Butterfingers, keputusan untuk kembali dengan persembahan berskala lebih kecil hadir daripada keinginan untuk menghidupkan semula suasana gig yang membentuk perjalanan awal mereka. Selepas menjayakan beberapa produksi besar seperti Transcendence 20, Malayneum 23 dan Peristiwa Angkasa Jio, kumpulan itu mahu kembali kepada pengalaman muzik yang lebih rapat, mentah dan penuh interaksi bersama penonton.
Pemilihan Odeon KL sebagai lokasi persembahan turut membawa makna simbolik kerana kawasan tersebut berhampiran dengan lokasi yang pernah menjadi pusat budaya muzik anak muda suatu ketika dahulu. Sebelum kewujudan platform penstriman digital, kawasan seperti Kompleks Pertama menjadi tempat peminat mencari album, mengenali kugiran baharu dan membina kecintaan terhadap muzik alternatif. Bagi Butterfingers, kembali ke lokasi ini adalah satu cara untuk menghargai sejarah yang membentuk mereka.
Menurut Emmett, sambutan 30 tahun 1.2 Milligrams bukan sekadar usaha mengimbau masa lalu, tetapi peluang untuk menghidupkan semula semangat yang melahirkan album tersebut. Beliau menjelaskan bahawa persembahan ini akan membawa kembali elemen penting era 90-an seperti tenaga persembahan secara langsung, hubungan rapat bersama peminat dan lagu-lagu yang lahir daripada kejujuran.
Sementara itu, Loque melihat album 1.2 Milligrams sebagai sebuah perjalanan yang bermula daripada keberanian mencuba sesuatu yang berbeza. Walaupun album tersebut sering dikaitkan dengan bunyi distortion, feedback dan pengaruh muzik alternatif, kekuatan sebenarnya terletak pada melodi serta emosi yang menjadi asas setiap lagu. Selepas 30 tahun, Butterfingers percaya karya yang dihasilkan dengan ikhlas mampu terus bertahan dan menemukan pendengar baharu merentasi generasi.
Sambutan ulang tahun 30 tahun 1.2 Milligrams di Odeon KL bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi sebuah pertemuan antara sejarah, kenangan dan legasi. Ia menjadi peluang untuk peminat lama mengenang kembali perjalanan yang pernah dilalui, manakala generasi baharu dapat merasai sendiri mengapa album ini terus dianggap penting dalam dunia muzik tempatan.
0 Comments
Post a Comment