SUBANG JAYA, 13 Julai 2026 – Demam pickleball semakin terasa apabila Blossom Rally Pickleball 2026 berjaya menarik lebih 500 peserta untuk menyertai pertandingan yang berlangsung penuh meriah di Tomaz Pickleball Club.

Bukan sahaja menjadi medan persaingan, acara ini turut menjadi tempat pertemuan komuniti apabila pemain profesional, selebriti dan orang awam berkongsi minat yang sama terhadap sukan yang semakin berkembang ini.


Menawarkan hadiah bernilai RM50,000, pertandingan ini berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai golongan termasuk lebih 70 peserta wanita. Kategori Suami Isteri dan Berpasukan menjadi antara tarikan utama kerana membawa konsep kerjasama dan semangat kekeluargaan.

Menurut Pengarah Program, Ahmad Zaim Ahmad Taufek, sambutan terhadap edisi pertama Blossom Rally Pickleball amat memberangsangkan dan menunjukkan bahawa masyarakat semakin terbuka untuk mencuba sukan baharu.

Katanya, pickleball kini bukan lagi sekadar aktiviti santai tetapi sudah berkembang menjadi satu komuniti besar yang menghimpunkan individu daripada pelbagai latar belakang.


Kehadiran selebriti seperti Elfira Loy, Datuk AC Mizal, Dayah Bakar, Dahlia Rizal, Ayie Floor88 dan Safiq Rahim turut menjadikan acara ini lebih menarik serta memberi inspirasi kepada peminat sukan.

Dengan perkembangan pesat pickleball di Malaysia, Blossom Rally Pickleball 2026 dilihat sebagai salah satu langkah penting dalam memperkenalkan sukan ini kepada lebih ramai masyarakat.

Zaim turut optimis bahawa pickleball mempunyai masa depan yang cerah dan berpotensi untuk diketengahkan dalam kejohanan lebih besar termasuk MSSM dan Sukma pada masa akan datang.