Mata sering dianggap sebagai salah satu bahagian wajah yang paling menyerlah dan mampu memberi kesan besar terhadap penampilan seseorang. Disebabkan itu, ramai kini lebih mengambil berat tentang bentuk mata, simetri wajah dan perubahan yang boleh membuatkan seseorang kelihatan lebih segar. Namun, apabila kelopak mata mula kelihatan jatuh atau tidak seimbang, ia tidak semestinya berpunca daripada faktor kecantikan sahaja kerana keadaan tersebut mungkin berkait dengan masalah kesihatan yang dikenali sebagai ptosis.

Ptosis ialah keadaan apabila kelopak mata atas berada lebih rendah daripada kedudukan normal akibat gangguan pada otot atau saraf yang mengawal pergerakannya. Walaupun ada yang menganggapnya sebagai masalah kosmetik, keadaan ini sebenarnya boleh memberi kesan kepada kehidupan harian apabila kelopak mata yang jatuh mula menghalang penglihatan, menyebabkan mata cepat letih atau membuatkan seseorang perlu mendongakkan kepala untuk melihat dengan lebih jelas.

Menurut Dr Nazila Ahmad Azli, Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Okuloplastik di Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), ptosis merupakan masalah yang sering dilihat dalam kalangan pesakit yang mendapatkan rawatan berkaitan kelopak mata. Berdasarkan pengalamannya, keadaan ini merangkumi sekitar 8 hingga 12 peratus daripada keseluruhan kes kelopak mata yang dikendalikan.

“Secara ringkasnya, ptosis bermaksud keadaan kelopak mata atas yang layu atau jatuh. Kelopak mata atas berfungsi melalui otot yang mengawal pergerakan buka dan tutup mata, dan ptosis berlaku apabila sama ada otot atau saraf yang menghubungkannya gagal berfungsi dengan baik,” jelas Dr Nazila.

Kelopak mata sebenarnya bukan sekadar lapisan kulit yang melindungi mata, tetapi mempunyai sistem otot dan saraf yang kompleks bagi memastikan fungsi mata berjalan dengan baik. Otot levator palpebrae superioris bertanggungjawab mengangkat kelopak mata atas, manakala otot orbicularis oculi membantu menutup mata. Apabila sistem ini terganggu, kelopak mata boleh menjadi lemah dan jatuh.

Masalah ptosis boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan boleh terjadi sejak lahir atau muncul apabila seseorang semakin meningkat usia. Bagi ptosis kongenital, puncanya sering berkaitan dengan perkembangan otot pengangkat kelopak mata yang tidak sempurna. Sementara itu, ptosis yang berlaku ketika dewasa pula boleh disebabkan oleh proses penuaan, kecederaan, kesan pembedahan mata terdahulu, penggunaan kanta lekap dalam tempoh lama, tabiat menggosok mata atau keadaan tertentu yang melibatkan saraf dan otot.


Ramai mungkin keliru antara ptosis dengan keadaan seperti hooded eyes atau lebihan kulit pada kelopak mata. Walaupun kedua-duanya boleh membuatkan mata kelihatan lebih kecil atau berat, puncanya berbeza. Ptosis berlaku apabila kelopak mata itu sendiri jatuh akibat masalah fungsi otot atau saraf, manakala lebihan kulit atau lemak pada kelopak mata menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai dermatochalasis atau pseudoptosis.

Perbezaan ini penting kerana rawatan untuk kedua-dua keadaan juga tidak sama. Pembedahan kosmetik kelopak mata atau blepharoplasty biasanya bertujuan membuang lebihan kulit, lemak atau tisu bagi memperbaiki penampilan. Sebaliknya, pembetulan ptosis memberi tumpuan kepada pemulihan fungsi kelopak mata dengan membaiki struktur yang membantu mengangkat kelopak mata.

“Ramai yang mungkin menganggap pembedahan pembetulan ptosis sama seperti pembedahan kosmetik kelopak mata kerana kedua-duanya boleh memperbaiki penampilan seseorang. Namun, kedua-dua prosedur ini membetulkan struktur kelopak mata yang berbeza. Dalam sesetengah keadaan, kedua-dua pembedahan ini boleh saling melengkapi dan perlu dilakukan secara serentak bagi mencapai hasil yang optimum,” kata Dr Nazila.

Sebab itu, pemeriksaan awal sangat penting sebelum seseorang membuat keputusan untuk menjalani sebarang prosedur berkaitan kelopak mata. Doktor perlu mengenal pasti sama ada masalah tersebut benar-benar berpunca daripada ptosis atau keadaan lain yang mempunyai simptom hampir sama.

Penilaian biasanya melibatkan pemeriksaan sejarah kesihatan, ukuran kelopak mata, kekuatan otot pengangkat, pergerakan mata, keadaan anak mata serta ujian medan penglihatan jika diperlukan. Pemeriksaan ini membantu menentukan tahap masalah dan rawatan yang paling sesuai untuk setiap individu.

Orang ramai juga perlu lebih peka jika perubahan pada kelopak mata berlaku secara tiba-tiba. Menurut Dr Nazila, ptosis yang muncul secara mengejut boleh menjadi tanda amaran kepada masalah kesihatan yang lebih serius dan memerlukan pemeriksaan segera.

“Ptosis yang berlaku secara tiba-tiba memerlukan perhatian perubatan segera. Keadaan ini boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti aneurisma otak, strok atau diseksi arteri karotid,” katanya.

Rawatan bagi ptosis bergantung kepada punca dan tahap keadaan pesakit. Ada kes yang hanya memerlukan pemantauan, manakala sesetengah pesakit mungkin memerlukan pembedahan pembetulan bagi membantu mengembalikan fungsi penglihatan dan memperbaiki kedudukan kelopak mata.

Dalam masa sama, penjagaan mata harian juga memainkan peranan penting. Elakkan menggosok mata terlalu kerap, pastikan kanta lekap dijaga dengan betul, berikan mata rehat daripada penggunaan skrin terlalu lama dan dapatkan rawatan lebih awal sekiranya mengalami masalah mata kering atau ketidakselesaan berpanjangan.

Ptosis bukan sekadar perubahan pada rupa mata atau tanda seseorang kelihatan penat. Jika kelopak mata jatuh mula mengganggu penglihatan atau aktiviti harian, ia wajar diperiksa oleh pakar kerana keadaan tersebut mungkin memerlukan rawatan yang lebih khusus.

“Jangan ambil mudah tentang ptosis kerana membiarkannya tanpa rawatan boleh menyebabkan gangguan penglihatan, ketidakselesaan yang berpanjangan serta mungkin menyembunyikan masalah kesihatan serius seperti kerosakan saraf, strok, aneurisma otak atau penyakit neuromuskular. Jika ragu-ragu, segeralah mendapatkan bantuan perubatan,” nasihat Dr Nazila.

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan umum, hubungi +603 9772 9191 atau e-mel smcv-enquiry@sunway.com.my. Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web www.sunwaymedicalvelocity.com.my serta Facebook rasmi Sunway Medical Centre Velocity.