Penyanyi terkenal Marsha Milan menyifatkan peluang untuk berkongsi pentas bersama kumpulan legenda Indonesia, Ungu, sebagai antara detik paling bermakna dalam perjalanan seninya.
Marsha bakal tampil sebagai artis jemputan khas dalam konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena, sempena sambutan ulang tahun ke-30 perjalanan seni kumpulan tersebut.
Menurut Marsha, tawaran yang diterimanya itu seolah-olah merealisasikan impian yang pernah disimpan dalam diam selepas berpeluang menyaksikan vokalis Ungu, Pasha, membuat persembahan di program Gegar Vaganza (GV).
"Sejujurnya, bila Abang Pasha datang membuat persembahan di GV baru-baru ini, saya ada di sana. Dalam hati saya sempat terfikir, 'Bestnya kalau satu hari nanti dapat berkongsi pentas dan berduet dengan Abang Pasha.' Apabila menerima tawaran ini, saya rasa sangat bersyukur dan gembira kerana impian itu akhirnya menjadi kenyataan," katanya.
Marsha berkata, Ungu merupakan antara kumpulan yang banyak mempengaruhi industri muzik Nusantara, malah lagu-lagu mereka sentiasa dekat di hati peminat kerana sarat dengan emosi dan kenangan.
Walaupun kini sedang sibuk membuat persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), penyanyi itu menegaskan beliau tetap memberi komitmen penuh terhadap persembahan bersama Ungu.
Menurutnya, fokus utama ketika ini adalah AJL40 memandangkan tarikh acara tersebut semakin hampir, namun persiapan untuk konsert Ungu akan diteruskan sejurus selepas itu.
Marsha turut memaklumkan bahawa beliau masih dalam proses memuktamadkan lagu-lagu yang bakal dipersembahkan secara solo, manakala pemilihan lagu duet diserahkan sepenuhnya kepada pihak Ungu.
"Saya ingin membawakan beberapa lagu sendiri pada malam itu, tetapi untuk lagu duet, saya serahkan kepada Ungu kerana semua lagu mereka sangat ikonik dan mempunyai nilai sentimental yang tinggi," katanya.
Selain aspek nyanyian, Marsha berkata beliau mahu memberikan sebuah persembahan yang mampu menyentuh emosi penonton melalui penceritaan yang disampaikan dalam setiap lagu.
Beliau berharap penonton bukan sahaja menikmati persembahan, malah dapat mengimbau kembali kenangan yang pernah dilalui bersama lagu-lagu popular Ungu.
Konsert tersebut juga bakal menjadi lebih istimewa apabila Ungu dijangka mempersembahkan sebuah lagu baharu buat kali pertama kepada peminat di Kuala Lumpur, selain membawakan rangkaian lagu hit yang telah mewarnai industri muzik selama tiga dekad.
Berkongsi mengenai lagu-lagu Ungu, Marsha mengakui hampir setiap karya kumpulan itu mempunyai kisah tersendiri dalam kehidupan para pendengar.
"Ramai yang menjadikan lagu-lagu Ungu sebagai lagu tema perkahwinan, lagu putus cinta atau teman ketika melalui pelbagai fasa kehidupan. Saya sendiri juga mempunyai kenangan bersama lagu-lagu mereka," katanya.
Sementara itu, Pengarah Konsert COMs. Creative Studio, En. Zairul Addry Helmy berkata pemilihan Marsha sebagai artis jemputan dibuat berdasarkan kekuatan vokalnya yang mampu melengkapkan persembahan Ungu.
Beliau yakin kolaborasi tersebut akan menjadi antara momen paling dinantikan oleh peminat pada malam konsert nanti.
Marsha turut mengajak peminat muzik tanah air untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan konsert bersejarah itu secara langsung, apatah lagi tiket kini dilaporkan hampir habis terjual.
Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur dijangka menjadi sebuah malam yang menghimpunkan nostalgia, emosi dan perjalanan seni selama tiga dekad, sekali gus mencipta kenangan baharu buat peminat Ungu dan Marsha Milan.

0 Comments
Post a Comment