Selepas sekian lama menempa nama dalam industri muzik tempatan, bintang Akademi Fantasia 8 (AF8), Emma Suhaimi kembali dengan buah tangan terbaharu menerusi single berjudul “Tersakiti”.
Lagu bergenre balada itu mengangkat kisah luka, kekecewaan serta keberanian untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi membawa kebahagiaan.
“Tersakiti” dicipta sepenuhnya oleh komposer ternama dari Indonesia, Ilham Baso, yang sebelum ini mencipta fenomena menerusi lagu hit “Menjaga Jodoh Orang Lain” nyanyian Ara Johari.
Menurut Emma, “Tersakiti” bukan sekadar lagu cinta mengenai perpisahan, sebaliknya membawa mesej lebih besar mengenai kepentingan mencintai diri sendiri dan berani meninggalkan hubungan yang toksik.
“Mesej lagu ini sebenarnya sangat mudah. Kalau kita sudah tahu berada dalam hubungan yang toksik, segeralah tinggalkan sebelum kita menjadi lebih ‘Tersakiti’,” katanya.
Emma berkata, ada kalanya seseorang terlalu lama bertahan kerana berharap keadaan akan berubah, sedangkan keputusan itu akhirnya hanya menyebabkan diri sendiri semakin terluka.
Jalan cerita yang diketengahkan menerusi lagu tersebut juga dianggap dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini, khususnya mereka yang memilih untuk memendam perasaan dan terus bertahan walaupun menyedari hubungan yang dilalui tidak lagi mendatangkan kebahagiaan.
Bercerita mengenai pemilihan Ilham Baso sebagai komposer, Emma mengakui reputasi pencipta lagu itu bukanlah faktor utama. Sebaliknya, cara Ilham bekerja menjadi sebab utama terjalinnya keserasian sepanjang proses pembikinan lagu.
“Ilham seorang komposer yang sangat fleksibel. Dia bukan sahaja menghasilkan lagu, tetapi memberi ruang kepada penyanyi untuk turut berkarya ketika proses rakaman.
“Dia memahami karakter suara saya dan memberi kebebasan untuk saya menyampaikan emosi mengikut cara sendiri. Bagi saya, kepercayaan seperti itu sangat penting untuk menghasilkan rakaman yang lebih jujur,” katanya.
Mengulas cabaran terbesar ketika merakamkan “Tersakiti”, Emma berkata aspek paling sukar bukanlah dari sudut teknikal vokal, sebaliknya memastikan emosi dalam lagu benar-benar sampai kepada pendengar.
“Lagu ini memerlukan saya menyampaikan emosi mereka yang pernah ‘Tersakiti’. Saya bimbang jika emosi itu tidak dapat disampaikan dengan baik kerana bagi saya, lagu seperti ini bukan sekadar perlu dinyanyikan, tetapi perlu dirasai,” katanya.
Menurut Emma, pengalaman hidup yang dilaluinya sendiri sedikit sebanyak membantu proses penghayatan lagu tersebut.
“Saya tidak mahu menipu. Saya sendiri pernah melalui pengalaman yang menyakitkan dan mungkin itu juga antara sebab saya memilih lagu ini.
“Kekecewaan yang saya lalui selama hampir 16 tahun membuatkan saya lebih memahami setiap bait lirik yang dinyanyikan. Namun, saya percaya kesedihan tidak semestinya diterjemahkan dengan tangisan. Kadang-kadang ketenangan juga mampu menyampaikan rasa yang jauh lebih mendalam,” ujarnya.
Antara bait lirik yang paling dekat di hati Emma ialah “Kamu buat aku nyaman tapi tak bisa aku genggam”, yang menurutnya membawa makna cukup besar tentang hakikat kehidupan.
“Lirik itu sangat dekat dengan saya. Ia mengingatkan bahawa tidak semua yang membuat kita bahagia akhirnya akan menjadi milik kita.
“Ada masanya kita perlu belajar melepaskan sebelum rasa sakit itu menjadi lebih dalam,” katanya.
Emma turut berharap “Tersakiti” mampu menjadi teman kepada mereka yang sedang melalui episod sukar dalam kehidupan, khususnya individu yang selama ini memilih untuk menyimpan luka sendirian.
“Saya percaya lagu ini membawa kisah hidup ramai orang. Mungkin selama ini mereka tidak pernah bercerita tentang apa yang mereka lalui, jadi saya harap ‘Tersakiti’ boleh menjadi suara kepada mereka.
“Kalau lagu ini mampu memberi kekuatan walaupun kepada seorang pendengar, itu sudah cukup bermakna buat saya,” katanya.
Dalam masa sama, Emma menyifatkan keseluruhan proses pembikinan “Tersakiti” berjalan dengan lancar hasil kerjasama erat bersama Ilham Baso.
“Sepanjang bekerjasama dengan Ilham, semuanya mudah untuk diatur dan dibincangkan. Dari awal sehingga lagu ini siap sepenuhnya, setiap proses berjalan dengan baik dan profesional.
“Saya sangat bersyukur dapat bekerjasama dengannya,” katanya.
Dengan susunan muzik yang menyentuh jiwa, melodi yang mudah diingati serta lirik yang sarat dengan makna, “Tersakiti” diharap mampu mengukuhkan lagi kedudukan Emma Suhaimi dalam arena muzik tempatan.
Single “Tersakiti” terbitan Nova Music Malaysia mula distrim di semua platform penstriman muzik utama pada Jumaat, 14 Ogos 2026, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama, jam 3 petang.

0 Comments
Post a Comment