Ernie Zakri membuka babak baharu dalam perjalanan seninya menerusi pelancaran single terbaharu, “Sejambak Bunga”, yang diperkenalkan di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 pada 8 Ogos lalu di Esplanade, KLCC Park.
Lagu tersebut dipersembahkan buat pertama kali ketika pertunjukan fesyen “Lerai” oleh pereka fesyen Zaimi Zulkafli. Pemilihan pentas itu mempunyai makna tersendiri apabila konsep yang diketengahkan menerusi koleksi berkenaan berkongsi semangat yang selari dengan mesej “Sejambak Bunga”.
Pertemuan antara muzik dan fesyen memberikan dimensi visual yang menarik kepada pelancaran tersebut. Jika muzik menjadi medium Ernie untuk menyampaikan emosi dan cerita, fesyen pula menawarkan bahasa berbeza untuk menterjemahkan rasa yang sama kepada khalayak.
“Apabila saya memahami konsep ‘Lerai’ yang dibawa oleh Zaimi, saya rasa ada persamaan dengan apa yang ingin saya sampaikan melalui ‘Sejambak Bunga’. Muzik dan fesyen mempunyai cara yang berbeza untuk bercerita, tetapi kedua-duanya mampu menyampaikan rasa dan emosi. Sebab itu saya rasa pentas ini sangat sesuai untuk memperkenalkan lagu ini,” kata Ernie.
“Sejambak Bunga” memperlihatkan sisi Ernie yang lebih reflektif dan matang. Lagu ini berkisar tentang bagaimana pengalaman membentuk seseorang, selain keberanian untuk menerima, belajar daripada apa yang telah dilalui dan terus bergerak ke hadapan.
“‘Sejambak Bunga’ bagi saya ialah sebuah lagu tentang kebangkitan. Kita semua melalui pelbagai fasa dalam kehidupan dan setiap pengalaman itu sedikit sebanyak membentuk siapa diri kita hari ini. Lagu ini adalah tentang menerima apa yang telah dilalui, belajar daripadanya dan terus melangkah sebagai versi diri yang lebih baik,” jelasnya.
Dicipta dan ditulis oleh Hael Husaini bersama Iqie Hugh, “Sejambak Bunga” menjadi karya pertama Ernie hasil sentuhan kedua-dua pencipta lagu tersebut.
Bagi Ernie, antara mesej terpenting yang ingin disampaikan menerusi lagu ini adalah mengenai kekuatan untuk tetap memilih kebaikan walaupun berdepan pengalaman yang tidak mudah.
“Tak semua luka perlu dibalas dengan luka. Kadang-kadang kemenangan kita ialah apabila kita tetap memilih untuk menjadi baik. Bagi saya, kekuatan sebenar adalah apabila kita mampu terus melangkah dengan hati yang tenang tanpa membiarkan pengalaman lalu mengubah nilai yang kita pegang.”
Mesej tersebut cukup dekat dengan fasa kehidupan Ernie hari ini. Sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan anak seni, beliau melihat perubahan yang dilalui sebagai sebahagian daripada proses mengenali diri dan kematangan yang turut mempengaruhi cara beliau mendekati muzik.
Namun, “Sejambak Bunga” tidak hanya mahu dilihat melalui pengalaman peribadi Ernie. Beliau berharap pendengar dapat memberikan tafsiran sendiri terhadap lagu tersebut berdasarkan cerita dan pengalaman masing-masing.
“Saya mahu orang mendengar ‘Sejambak Bunga’ dan menemukan cerita mereka sendiri di dalamnya. Cerita setiap orang mungkin berbeza, tetapi saya percaya kita semua pernah berada pada satu fasa yang memerlukan kita untuk terus maju. Kalau lagu ini boleh menjadi teman atau memberikan sedikit kekuatan kepada seseorang, itu sudah cukup bermakna buat saya.”
Secara visual, mawar putih menjadi simbol utama “Sejambak Bunga”, membawa makna ketenangan, harapan dan sebuah permulaan baharu.
“Mawar putih bagi saya membawa rasa yang sangat tenang. Ia melambangkan permulaan baharu dan ruang untuk kita terus berkembang. Kita tidak perlu melupakan apa yang pernah dilalui, tetapi kita boleh menghargainya sebagai sebahagian daripada apa yang membentuk diri kita hari ini.”
Menerusi “Sejambak Bunga”, Ernie membuka satu lagi ruang dalam perjalanan seninya untuk berkongsi sisi dirinya yang lebih dekat dengan fasa kehidupannya hari ini, sambil memberi peluang kepada pendengar untuk menemukan makna mereka sendiri dalam karya tersebut.
“Sejambak Bunga” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.


0 Comments
Post a Comment