Selepas mencuri perhatian menerusi album sulungnya, “Sementara, Selamanya”, penyanyi dari Indonesia, Fajar Noor akhirnya merealisasikan penantian para peminat di Malaysia menerusi “Sementara, Selamanya Showcase Bersama Fajar Noor” yang berlangsung di Aloft Kuala Lumpur Sentral.

Menandakan showcase sulungnya di Malaysia, acara eksklusif ini menghimpunkan lebih 600 peminat terpilih, termasuk FajarSoul dari seluruh Malaysia serta peminat yang sanggup hadir dari Indonesia demi meraikan momen istimewa bersama Fajar. Sambutan luar biasa ini membuktikan bagaimana “Sementara, Selamanya” terus mendapat tempat di hati pendengar merentasi dua negara.

Menjelang showcase tersebut, Fajar terlebih dahulu mendekati peminat menerusi beberapa aktiviti promosi sekitar Kuala Lumpur, termasuk sesi busking di SOGO Kuala Lumpur dan Bukit Bintang bersama Syamel dan Khai Bahar.

Bukan sekadar busking biasa, ketiga-tiga penyanyi mencipta momen istimewa apabila mereka saling membawakan lagu popular masing-masing. Fajar dan Khai Bahar bergandingan menyanyikan “Cukup Sekali” milik Syamel, manakala Syamel tampil dengan versinya sendiri untuk “Salah Apa Aku” milik Fajar. Fajar kemudiannya membalas dengan membawakan “Luluh”, antara lagu popular Khai Bahar.


Sesi busking tersebut mencuri perhatian orang ramai dan menghidupkan suasana di tengah kota, khususnya di Bukit Bintang. Kehadiran ketiga-tiga penyanyi itu turut menjadi pembuka tirai kepada sambutan lebih besar yang menanti Fajar di showcase sulungnya.

Selain memperkenalkan lagu-lagu daripada album “Sementara, Selamanya”, sesi berkenaan turut mencipta momen spontan antara Fajar, peminat dan orang awam. Kehadiran Syamel dan Khai Bahar menambahkan lagi keterujaan apabila mereka saling membawakan lagu popular masing-masing, sekali gus menyerlahkan keakraban Fajar bersama rakan-rakan artis di Malaysia.

Kemuncak kunjungan Fajar ke Malaysia diteruskan menerusi showcase “Sementara, Selamanya”, yang turut dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan artis tempatan termasuk Khai Bahar dan Odda.

Di hadapan ratusan FajarSoul, Fajar menghidupkan album “Sementara, Selamanya” di atas pentas menerusi persembahan penuh emosi, diselang-selikan dengan perkongsian kisah di sebalik lagu-lagunya. Daripada kisah cinta dan kehilangan hingga penyesalan serta rasa yang masih tersisa, setiap lagu membuka sisi Fajar yang lebih dekat dan peribadi kepada peminat.

Album “Sementara, Selamanya” mengangkat tema cycle of love, iaitu perjalanan sebuah hubungan yang melalui pelbagai fasa, daripada detik pertama jatuh cinta, konflik dan kehilangan, sehinggalah kepada perasaan yang masih tertinggal apabila sebuah hubungan tidak benar-benar menemukan noktah.

Bagi Fajar, peluang untuk bertemu dan membuat persembahan secara langsung di hadapan peminat Malaysia merupakan satu momen yang cukup bermakna, khususnya selepas menerima sokongan daripada peminat tempatan sejak muziknya mula mendapat perhatian di Malaysia.


Mengimbau kembali momen tersebut, Fajar turut menitipkan ucapan penghargaan buat semua peminat yang hadir dan menjadikan malam showcase itu satu kenangan yang cukup bermakna buat dirinya.

“Aku mahu terima kasih buat teman-teman semuanya yang udah datang ke showcase Fajar pada hari Jumaat lalu untuk album pertama Fajar, ‘Sementara, Selamanya’. Semoga malam itu bisa kalian kenangan, kerana kalian buat kenangan yang paling indah untuk Fajar dan semua di Malaysia,” katanya.

Kehadiran Fajar Noor ke Malaysia juga menandakan satu lagi langkah penting dalam memperkenalkan karya dan identitinya sebagai seorang penyanyi kepada khalayak yang lebih luas di rantau Nusantara.

Menerusi “Sementara, Selamanya”, Fajar bukan sahaja berkongsi kisah peribadinya tentang cinta dan kehilangan, tetapi turut membuka ruang buat pendengar untuk menemukan kisah mereka sendiri dalam setiap lagu.

“Sementara, Selamanya” kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.