Magnum Opus ialah istilah Latin yang merujuk kepada karya terpenting seseorang seniman. Dalam konteks Dato’ M. Nasir, istilah ini membawa makna yang lebih luas kerana ia bukan sekadar merujuk kepada sebuah karya, tetapi merangkumi keseluruhan legasi seni yang dibina sepanjang lima dekad.
Bermula pada 1979 hingga 2026, perjalanan seni Dato’ M. Nasir telah merentasi lima dekad sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit. Dengan lebih daripada 2,000 karya muzik merangkumi pelbagai genre dan generasi, beliau bukan sekadar menghasilkan lagu, malah turut membentuk sebahagian daripada identiti muzik Melayu moden.
Karya-karya beliau menjadi suara kepada pelbagai zaman, manakala pemikiran serta pendekatan kreatifnya terus mempengaruhi perkembangan muzik tanah air.
“Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” meneruskan kesinambungan dua produksi terdahulu, iaitu “Magnum Opus Siri 1: Kembara Ke Solo” pada 2017 di MATIC dan “Magnum Opus Siri 2: Search, Wings & Rock ’N’ Roll” pada 2019 di Auditorium DBKL.
Edisi Dekad Ke-5 ini kembali dalam bentuk sebuah persembahan berskala besar yang menelusuri lima dekad penciptaan, perubahan zaman serta evolusi pemikiran dan muzik Dato’ M. Nasir.
Antara tarikan utama produksi kali ini ialah pementasan semula 30 karya ikonik Dato’ M. Nasir menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan. Karya-karya tersebut akan diberi nafas baharu melalui susunan simfoni oleh Mohd Rafi Shafie, pengarah muzik yang mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai produksi dan persembahan Dato’ M. Nasir sebelum ini.
Dengan tempoh persembahan kira-kira 150 minit, vokal dan tenaga pentas Dato’ M. Nasir akan digabungkan dengan kekuatan pemuzik profesional Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Eric Lee Yin Fah.
Gabungan ini dijangka menghasilkan pengalaman muzikal yang lebih sinematik, dinamik dan emosional, selain memberikan perspektif baharu terhadap karya-karya yang telah dikenali serta dekat dengan masyarakat selama beberapa dekad.
Setiap karya yang dipilih mewakili era dan fasa penting dalam perjalanan seni Dato’ M. Nasir. Penonton berpeluang menelusuri evolusi penulisan lirik, penciptaan melodi dan susunan muzik beliau melalui sebuah pengalaman yang dirangka khusus untuk pentas simfoni.
Dari sudut artistik, “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” mengangkat pendekatan surrealisme yang disuntik dengan elemen falsafah dan simbolisme. Pendekatan ini selari dengan karakter seni Dato’ M. Nasir yang terkenal menerusi karya-karya puitis, imaginatif dan sarat dengan lapisan makna.
Bahasa visual serta keseluruhan pengalaman konsert dirangka bagi mengajak penonton melihat karya-karya Dato’ M. Nasir bukan semata-mata sebagai lagu, tetapi sebagai cerminan perjalanan pemikiran dan ekspresi seorang seniman.
Ismail Shariff merupakan pencetus idea asal Magnum Opus yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah siri persembahan dalam meraikan karya dan perjalanan seni Dato’ M. Nasir.
Bagi edisi Dekad Ke-5 ini, Shabromo menerajui produksi sebagai Pengarah Konsert dan Artistik. Beliau bertanggungjawab membentuk hala tuju kreatif serta keseluruhan bahasa visual dan persembahan agar selari dengan visi Magnum Opus.
Keon Omar selaku Penerbit Eksekutif berharap penganjuran konsert ini dapat terus memelihara dan mengangkat warisan seni muzik Melayu, di samping membuka ruang kepada generasi pemuzik dan pencipta muda untuk mengenali serta menghargai kedalaman karya seorang tokoh yang telah memberikan sumbangan besar kepada industri muzik tanah air.
Pemilihan Panggung Sari, Istana Budaya pula amat bertepatan dengan karakter dan skala produksi ini, khususnya dalam mempertemukan seni persembahan pentas dengan kekuatan sebuah orkestra simfoni dalam ruang yang sinonim dengan persembahan seni bertaraf tinggi.
Sepanjang perjalanan seninya, Dato’ M. Nasir telah menerima pelbagai pengiktirafan utama industri termasuk Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik serta pengiktirafan daripada MACP sebagai antara pencipta lagu terunggul negara.
Namun begitu, legasi seorang seniman tidak hanya terletak pada jumlah karya atau deretan anugerah yang diterima. Nilai sebenar legasi Dato’ M. Nasir terletak pada karya-karya yang terus didengar, dinyanyikan, dimainkan, ditafsir dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Lima dekad perjalanan beliau membuktikan bahawa karya yang lahir daripada kekuatan seni dan pemikiran mampu melangkaui zaman.
Justeru, “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” hadir bukan sekadar sebagai sebuah persembahan hiburan, tetapi sebagai apresiasi budaya terhadap khazanah muzik tanah air. Ia menjadi manifestasi keraian terhadap perjalanan seorang seniman, selain menjadi usaha mempertemukan warisan muzik lima dekad dengan generasi masa kini.
Selain konsert, beberapa program sampingan turut diadakan di ruang legar Istana Budaya, termasuk pameran dan jualan karya seni kanak-kanak serta sesi bual bicara berkaitan penerbitan buku yang mengupas karya muzik M. Nasir.
Konsert ini mendapat insentif Dana Kandungan Kreatif – Persembahan Muzik daripada MyCreative Ventures, manakala Istana Budaya bertindak sebagai Rakan Strategik.
Tiket “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5” akan mula dijual pada Jumaat, 21 Ogos 2026, jam 3.00 petang menerusi laman sesawang ILASSO Tickets.
Harga tiket ditawarkan mengikut beberapa kategori, iaitu Stalls Kategori A pada RM1,588, Kategori B RM1,188, Kategori C RM988 dan Kategori D RM838. Grand Circle pula menawarkan Kategori E pada RM638 dan Kategori F RM538, manakala Upper Circle menawarkan Kategori G pada RM338 dan Kategori H pada RM288.
Luncai Emas Sdn. Bhd. bersama seluruh rakan kerjasama menjemput para peminat muzik, penggiat seni, rakan media, rakan strategik dan masyarakat umum untuk bersama-sama menjadi saksi kepada sebuah detik istimewa apabila lima dekad perjalanan seorang seniman diterjemahkan melalui muzik, puisi, falsafah dan bunyi simfoni.

0 Comments
Post a Comment