KamiSempoi International Agency terus memperluas ekosistem penstriman langsungnya dengan menghimpunkan kira-kira 6,000 hos di Malaysia, Indonesia dan Singapura.

Ketika ini, agensi tersebut mempunyai kira-kira 4,300 hos di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura.

Perkembangan komuniti berkenaan menunjukkan industri penstriman langsung semakin mendapat tempat sebagai sebahagian daripada ekonomi digital di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif KamiSempoi International Agency, Chin Swee berkata, industri tersebut mempunyai potensi besar untuk membuka peluang kerjaya kepada individu daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, seseorang tidak semestinya mempunyai pengalaman dalam industri hiburan untuk membina kerjaya sebagai penstrim langsung.

Individu yang mempunyai kebolehan bercakap, berkomunikasi dan menghiburkan penonton boleh diberikan latihan untuk membangunkan kemahiran lain yang diperlukan.

“Kami mahu membuka peluang kepada mereka yang benar-benar mahu belajar dan bekerja.

“Tidak semestinya mereka mempunyai latar belakang dalam industri hiburan. Kalau ada kebolehan bercakap, berkomunikasi dan menghiburkan orang, kami boleh membantu mereka membangunkan kemahiran lain,” katanya.

Peluang tersebut terbuka kepada penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah dan orang ramai yang serius mahu menjadikan penstriman langsung sebagai kerjaya.

Bagaimanapun, setiap calon perlu mempunyai kesungguhan, komitmen dan kemahuan untuk terus belajar.

Chin Swee berkata, pekerjaan sebagai penstrim langsung perlu dilihat sebagai kerjaya profesional yang memerlukan disiplin dan sasaran.

Walaupun ia boleh dilakukan dari rumah, seseorang hos masih perlu bekerja secara konsisten dan menunjukkan prestasi yang baik.

“Kita mahu mengubah pemikiran bahawa apabila bekerja dari rumah, seseorang tidak perlu mempunyai disiplin.

“Kalau mahu menjadikannya sebagai pekerjaan tetap, kita perlu bekerja dan belajar.

“Kena ada dorongan, semangat bersaing dan prestasi. Sebab itu kami mewujudkan akademi ini,” katanya.

KamiSempoi Premier Academy bakal memainkan peranan dalam menyediakan latihan dan hala tuju kepada individu yang berminat menceburi bidang berkenaan.

Akademi itu akan beroperasi di pejabat KamiSempoi di Quill City Mall, Kuala Lumpur.

Pengambilan peserta akan dilakukan melalui proses temu duga dan saringan berdasarkan minat, kebolehan berkomunikasi, kesungguhan serta komitmen mereka.

Peserta akan mengikuti kurikulum pembangunan selama setahun yang merangkumi latihan teknikal, pembangunan kandungan, komunikasi, persembahan dan penyediaan siaran langsung.

Mereka turut dibimbing dalam aspek penampilan, interaksi bersama penonton dan pembangunan prestasi LIVE.

Selain latihan, KamiSempoi International Agency turut merancang menyediakan studio profesional secara sewaan kepada bakat baharu yang belum mempunyai modal mencukupi.

Kemudahan tersebut akan dilengkapi komputer, kamera, sistem bunyi dan peralatan asas bagi membantu peserta menghasilkan siaran berkualiti.

Inisiatif itu menjadikan agensi berkenaan sebagai pusat sehenti untuk individu belajar, bekerja dan membina kerjaya dalam industri penstriman langsung.

Menurut Chin Swee, matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan penstrim langsung Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Kami mahu orang melihat penstriman langsung sebagai satu kerjaya profesional.

“Kami mahu melahirkan generasi baharu yang bukan sahaja mampu mendapatkan tontonan, tetapi boleh menghasilkan persembahan LIVE berkualiti dengan standard produksi tinggi,” katanya.

Perkembangan komuniti KamiSempoi di tiga negara memperlihatkan potensi industri tersebut untuk terus berkembang dan menyediakan peluang baharu kepada bakat dalam ekonomi digital.

Menerusi latihan, kemudahan teknikal dan pembangunan prestasi, KamiSempoi International Agency berharap dapat membina generasi penstrim langsung yang lebih profesional, berkemahiran serta bersedia menghadapi persaingan global.