Konsert The Rayhan Syukur 26 yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini, 15 Ogos di MegaStar Arena, Kuala Lumpur, dianjakkan ke 31 Oktober 2026 di lokasi sama bagi memberi lebih banyak ruang kepada kumpulan itu melakukan persiapan.
Penganjur Bintang Batu Event, Magnificent G Ventures dan Million Delight Sdn Bhd turut mengesahkan harga tiket kekal seperti yang ditawarkan sebelum ini, sekali gus memastikan peminat tidak terjejas dengan perubahan tarikh berkenaan.
Menurut wakil Bintang Batu Event, Ikhram Zainuddin atau Atom, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jadual padat anggota kumpulan, barisan pemuzik serta keperluan menyediakan persembahan secara lebih teratur.
Katanya, pihak penganjur tidak mahu kemunculan semula The Rayhan selepas sekian lama tidak mengadakan persembahan berskala besar dilakukan secara tergesa-gesa. Sebaliknya, mereka mahu memastikan latihan dan persiapan mencukupi bagi menghasilkan persembahan yang mampu mengimbau nostalgia peminat.
Hampir 90 peratus pemuzik yang terbabit adalah mereka yang pernah mengiringi persembahan Raihan sebelum ini. Justeru, masa tambahan diperlukan bagi menyelaraskan latihan dan susunan persembahan.
Pada masa sama, tarikh asal konsert turut bertembung dengan penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL 40) di Unifi Arena, Kuala Lumpur. Penganjur juga menerima permintaan daripada peminat supaya tarikh dianjakkan kerana pertindihan dengan beberapa acara lain sepanjang Ogos.
Vokalis utama The Rayhan, Nazrey Johani, menyambut baik keputusan berkenaan kerana ia memberikan lebih banyak masa untuk dirinya dan anggota kumpulan membuat persediaan.
Nazrey berkata, hampir 20 tahun tidak mengadakan konsert besar menyebabkan tempoh latihan yang lebih panjang amat diperlukan, terutama dengan jadual Ogos yang padat.
Kekangan masa sebelum ini turut menyebabkan pertemuan dengan penyusun muzik dan perancangan persembahan agak suntuk, sekali gus mendorong keputusan untuk memilih tarikh baharu yang lebih selesa.
Selain Nazrey, The Rayhan turut dianggotai Amran Ibrahim dan Afad Ahmad yang pernah bersama Raihan.
Konsert The Rayhan Syukur 26 turut menampilkan Noki dan MK K-Clique serta penyanyi Indonesia, Opick sebagai penyanyi undangan.
Dengan tarikh baharu pada 31 Oktober, kumpulan itu kini mempunyai tempoh lebih panjang untuk memperkemas latihan dan persembahan. Langkah berkenaan diharapkan mampu menyajikan kemunculan semula yang lebih mantap buat peminat yang sudah lama menantikan persembahan berskala besar mereka.
.jpg)
0 Comments
Post a Comment