Selepas menjayakan siri jelajah di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, kumpulan popular Indonesia, D’Masiv kini meneruskan perjalanan muzik mereka ke beberapa negara Asia termasuk Taiwan, Hong Kong dan Singapura menerusi jelajah D’MASIV Asia Home Run.
Malaysia turut menjadi antara destinasi penting dalam siri jelajah tersebut apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi terakhir sebelum D’Masiv melabuhkan tirai jelajah di Jakarta.
Menerusi persembahan anjuran Neptunes Presents, D’Masiv bakal menggegarkan Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 20 November 2026, jam 8 malam.
Vokalis D’Masiv, Rian Ekky Pradipta berkata, D’MASIV Asia Home Run bukan sekadar siri konsert, sebaliknya menjadi platform untuk mengeratkan kembali hubungan kumpulan itu dengan peminat di luar negara sambil membawa semangat yang membentuk perjalanan muzik mereka sejak awal.
Menurutnya, perjalanan D’Masiv bermula di Indonesia, khususnya di Ciledug, dan semangat tersebut mahu dibawa bersama sepanjang jelajah Asia kali ini.
D’Masiv mahu peminat di setiap negara merasai kehangatan muzik dan tenaga yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kumpulan itu, selain mewujudkan suasana konsert yang dekat dan mesra seolah olah penonton sedang menikmati persembahan di rumah sendiri.
Ditubuhkan pada 2003, kumpulan pop rock itu kini dianggotai Rian Ekky Pradipta sebagai vokalis, Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan sebagai gitaris, Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata sebagai pemain bass serta Wahyu Piadji sebagai pemain dram.
Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman berkata, Malaysia sentiasa mempunyai hubungan istimewa dengan D’Masiv yang menganggap negara ini sebagai rumah kedua mereka.
Menurut beliau, sambutan mesra penonton Malaysia serta tenaga yang dirasai sepanjang persembahan menjadi antara faktor yang membuatkan D’Masiv sentiasa merindui pengalaman berada di negara ini.
Mega Star Arena dipilih sebagai lokasi persembahan kali ini kerana D’Masiv mempunyai kelompok peminat yang besar di Malaysia dan venue tersebut menawarkan kapasiti yang lebih sesuai untuk menampung kehadiran penonton.
D’Masiv juga dijangka membawakan rangkaian lagu popular mereka bersama karya terbaharu untuk dinyanyikan bersama peminat dalam persembahan selama kira kira dua jam.
Pengarah RANS Entertainment, Nagita Slavina pula menyifatkan D’MASIV Asia Home Run sebagai usaha untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih peribadi kepada peminat di samping memperluaskan jangkauan muzik kumpulan berkenaan.
Menurutnya, jelajah tersebut bakal menampilkan persembahan yang menggabungkan lagu lagu baharu D’Masiv bersama karya popular seperti Pergilah Kasih, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku yang telah mencorakkan perjalanan muzik mereka.
Persembahan itu turut disokong konsep visual yang mengetengahkan semangat Indonesia serta kisah akar umbi D’Masiv, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih dekat kepada penonton.
Bagi persembahan di Kuala Lumpur, tiket Early Bird tersedia secara eksklusif kepada mereka yang melengkapkan pra pendaftaran. Tiket pra jualan pula akan mula dijual pada 8 September 2026, jam 10 pagi menerusi laman web rasmi dmasivtour.com.
Kategori tiket pra jualan terdiri daripada Festival pada harga RM188, Super VIP RM588, Diamond RM288, Platinum RM148 dan Gold RM108.
Pakej Super VIP menawarkan tempat duduk premium berupa sofa, laluan masuk pentas, sesi bergambar, barangan eksklusif, poster bertandatangan, tiket koleksi edisi terhad serta makanan ringan dan minuman.
Sepanjang tempoh pra jualan, peminat turut boleh mendapatkan pakej poster bertandatangan bersama sesi bergambar pada harga RM100 serta Tiket Koleksi Edisi Terhad pada harga RM10.
D’MASIV Asia Home Run di Kuala Lumpur dijangka menjadi peluang buat peminat Malaysia menikmati persembahan secara langsung daripada D’Masiv sambil mengimbas kembali karya karya yang telah menemani perjalanan muzik kumpulan tersebut selama lebih dua dekad.

0 Comments
Post a Comment