Inisiatif Malaysian Entrepreneur Hub (MEH) terus memberi impak kepada komuniti usahawan tempatan apabila projek-projek di bawah inisiatif tersebut telah memberi manfaat kepada 611 usahawan dan vendor setakat Ogos 2026.

Antara lokasi utama ialah Heritage Valley Kuala Lumpur, yang merekodkan jualan terkumpul melebihi RM4.6 juta serta memberi manfaat kepada lebih 526 usahawan dan vendor.

Heritage Valley dibangunkan oleh UDA Holdings Berhad (UDA) di atas tapak seluas 1.71 ekar di Jalan Doraisamy. Hab tersebut kini menempatkan 26 usahawan yang menjalankan perniagaan secara tetap di kiosk dan lot kedai.

Selain aktiviti perniagaan, Heritage Valley turut menjadi lokasi pelbagai program komuniti dan gaya hidup seperti Santai Maa, Secondlife Market, Slay Maa, Curators Lab dan Kuala Lumpur Bike Week yang secara keseluruhannya menarik lebih 100,000 pengunjung.

Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Fuaad Kenali berkata, pembangunan Heritage Valley memberi tumpuan kepada usaha mencipta peluang baharu, menghubungkan masyarakat serta membantu usahawan membina perniagaan yang mampan untuk jangka panjang.

Heritage Valley juga bakal diperluaskan dengan pembukaan kiosk baharu dan 14 unit pop-up store, menjadikan jumlah keseluruhan lot niaga kepada 40 unit.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk memperluaskan manfaat kepada lebih ramai usahawan tempatan. Bagi tahun 2026 dan seterusnya, Heritage Valley menyasarkan untuk memberi manfaat kepada lebih 700 usahawan dan vendor.

Pada peringkat MEH secara keseluruhan, inisiatif tersebut telah merekodkan anggaran jualan terkumpul melebihi RM7.75 juta.

Selain lebih RM4.6 juta daripada Heritage Valley, Santai Camp di Johor mencatat RM2.3 juta, manakala Morten Walk di Melaka merekodkan RM850,000.

MEH turut akan diperluaskan menerusi sebuah lagi hab di Kundasang, Sabah yang kini sedang dalam pembangunan, sekali gus memperluaskan peluang keusahawanan kepada lebih banyak komuniti tempatan.