Kumpulan indie tempatan Lokarya kembali mencuri perhatian apabila memperkenalkan dua karya terbaharu, “Pelangi Selepas Hujan” dan “Lie”, yang menjadi permulaan kepada perjalanan menuju album studio sulung mereka.

Selepas beberapa tahun membina identiti dalam industri muzik, kumpulan yang ditubuhkan pada 2019 itu kini tampil dengan arah muzik yang lebih matang, berani dan penuh eksperimen.

Lokarya yang dianggotai Shaheth Nair (vokal/gitar), Khairi Hamidi (gitar), Rafael Ahmad (bass), Taka (keys) dan Amirul Zailan (dram) terus membawa pendekatan muzik tersendiri melalui gabungan elemen city pop moden, soul serta alternatif.

Bagi kumpulan ini, setiap karya yang dihasilkan bukan sekadar lagu, tetapi gambaran perjalanan, pengalaman dan emosi yang membentuk identiti mereka sebagai sebuah kumpulan.

“Pelangi Selepas Hujan” menjadi antara karya yang paling dekat dengan hati Lokarya apabila ia merupakan hasil ciptaan Noh Salleh.

Mengangkat tema tentang hubungan manusia dengan Tuhan, lagu tersebut membawa mesej mengenai mencari kekuatan ketika berdepan cabaran, kehilangan dan fasa kehidupan yang tidak menentu.

Menurut Shaheth Nair, lagu tersebut mengingatkan pendengar bahawa selepas setiap kesukaran, sentiasa ada ruang untuk harapan dan permulaan baharu.

Berbeza daripada karya sebelumnya, lagu ini menampilkan susunan muzik yang lebih cerah dan harmoni, memperlihatkan perkembangan Lokarya dalam menghasilkan karya yang lebih luas dari segi emosi dan bunyi.

Sementara itu, “Lie” hadir dengan sisi yang lebih peribadi apabila lagu berbahasa Inggeris tersebut merupakan karya lama yang ditulis Shaheth sejak 2014.

Selepas bertahun-tahun melalui proses perubahan dan penyesuaian, lagu tersebut akhirnya diberikan nafas baharu bersama Lokarya dan menemui identiti yang lebih sesuai dengan perjalanan muzik mereka hari ini.

Sebelum melangkah ke fasa album sulung, Lokarya terlebih dahulu memperkenalkan “Deruan”, sebuah karya yang menjadi titik penting dalam pembentukan identiti muzik mereka.

Lagu tersebut bukan sahaja membuka ruang untuk kumpulan itu mengenali arah muzik sendiri, malah menjadi asas dalam menentukan konsep serta bunyi album pertama mereka.

Menurut Rafael Ahmad, perjalanan menghasilkan album ini banyak mengajar mereka tentang proses kreatif, kerjasama dan bagaimana setiap cabaran membentuk perkembangan Lokarya sebagai sebuah kumpulan.

Album studio sulung Lokarya bakal menampilkan pelbagai warna muzik tanpa terikat kepada satu genre sahaja.

Walaupun bereksperimen dengan pelbagai pendekatan, kumpulan itu tetap mengekalkan elemen utama yang menjadi identiti mereka.

Dalam menghasilkan karya tersebut, Lokarya turut bekerjasama dengan Fai HK sebagai penerbit muzik dan penggubah susunan bagi membantu merealisasikan visi kreatif album.

Projek album ini turut mendapat sokongan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta MyCreative Ventures menerusi Rumah Muzik Production.

Bagi Lokarya, muzik mempunyai nilai yang lebih besar apabila ia mampu menjadi teman kepada seseorang dalam perjalanan hidup mereka.

Kumpulan itu berharap karya mereka dapat memberi ruang kepada pendengar untuk mencari ketenangan, memahami emosi sendiri dan menemukan makna melalui muzik.

Selain pelancaran album, Lokarya turut merancang untuk mendekati peminat menerusi persembahan khas serta jelajah muzik pada masa akan datang.

Dengan “Pelangi Selepas Hujan” dan “Lie”, Lokarya kini bersedia membawa pendengar mengenali dunia muzik mereka yang lebih matang, terbuka dan penuh cerita.

Kedua-dua single tersebut kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital, manakala album studio sulung Lokarya bakal dilancarkan tidak lama lagi.